Sejarah Fakulti Pertanian | FAKULTI PERTANIAN
» MENGENAI KAMI » Sejarah » Sejarah Fakulti Pertanian

Sejarah Fakulti Pertanian

Fakulti Pertanian adalah satu daripada tiga fakulti pengasas dalam penubuhan Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia ) pada 1971. 

Bermula dengan tujuh jabatan di bawahnya, fakulti ini telah menjadi pengasas kepada penubuhan beberapa fakulti lain dalam proses pembangunan dengan membangunkan jabatan berkenaan hingga menjadi taraf fakulti sendiri. Sehingga akhir 1998, Fakulti Pertanian mempunyai 3 jabatan akademik, iaitu Jabatan Agronomi dan Hortikultur, Jabatan Perlindungan Tumbuhan dan Jabatan Sains Tanah.

Bermula pada 1 Januari 1999, proses penstrukturan semula di Universiti Putra juga melibatkan Fakulti Pertanian. Penstrukturan ini adalah berkonsepkan penyatuan atau integrasi elemen utama dalam sistem pertanian iaitu tanaman, haiwan, tanah, teknologi dan pengurusan. Berasas kepada konsep ini, Fakulti Pertanian kini mempunyai tujuh jabatan, iaitu Sains Tanaman, Sains Haiwan, Perlindungan Tumbuhan, Pengurusan Tanah, Perniagaantani dan Sistem Maklumat, Teknologi Pertanian, Akuakultur.

Sebagai fakulti pertanian terunggul di negara ini, maka Fakulti Pertanian mempunyai peranan utama untuk menangani secara langsung masalah pertanian semasa negara serta prospek pembangunan industri pertanian dalam jangka masa panjang terutama kepada program latihan sumber manusia dengan tenaga terlatih yang terdiri daripada graduan yang berpandangan jauh ke hadapan dan berupaya bersaing dalam arena industri. Berlandaskan sistem pendidikan negara, Fakulti Pertanian berusaha mengeluarkan pakar pertanian terlatih, berciri keusahawan dan berupaya mengendalikan perundingan di mana saja, di samping menghasilkan teknologi pertanian baru dan tinggi, hasil dari program penyelidikan dan pengkomersilan.

Fakulti Pertanian kini menawarkan program pengajian yang terdiri daripada program Bacelor Sains Pertanian, Bacelor Sains Hortikultur, dan Bacelor Sains (Perniagaantani). Program baru peringkat Bacelor yang ditawarkan adalah Bacelor Sains Pertanian (Akuakultur) dan Bacelor Sains Pertanian (Sains Ternakan). Manakala pada peringkat Master, Fakulti Pertanian menawarkan program Master Sains Pertanian, Master Sains, Master Sains Pengurusan Tanah, Master Sains Pengurusan Perladangan, Master Sains Pengurusan Sumber Lestari dan PhD.

 

 

Kemaskini:: 08/09/2022 [wazien]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDcUAy~