Apa Kesan COVID-19 Kepada Industri Akuakultur Di Malaysia? | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Apa kesan COVID-19 kepada industri akuakultur di Malaysia?

Apa kesan COVID-19 kepada industri akuakultur di Malaysia?

Prof Madya Dr Murni Marlina Abd Karim
Pensyarah dan penyelidik di Laboratori Kesihatan Ikan, Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian UPM
   

SATU dunia dikejutkan dengan penularan virus COVID-19 yang bermula di Wuhan, China pada Disember 2019.

Virus yang telah merebak hampir ke seluruh dunia ini telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Dunia sedang bekerja keras untuk menangani COVID-19 disebabkan jumlah jangkitan yang meningkat diikuti dengan kadar kematian.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada mengalami peningkatan jangkitan dan kadar kematian yang menyebabkan kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran wabak COVID-19.
Tempoh PKP yang pada awalnya bermula pada 18 sehingga 31 Mac kini telah dilanjutkan sehingga14 April 2020.

Apakah kesan COVID-19 kepada industri akuakultur Malaysia?

Tidak dapat disangkal COVID-19 ini memberi impak kepada industri akuakultur bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara lain terutamanya negara yang dikenakan tindakan kawalan pergerakan dan perintah berkurung.

Di Malaysia, PKP memberi kesan kepada pengusaha akuakultur disebabkan oleh kurangnya permintaan dari pemborong dan peniaga.

Dengan pengurangan peniaga di pasar dan kedai makan menjadikan pemborong tidak lagi mengambil ikan atau udang daripada penternak pada skala yang besar.

Mungkin juga ada di antara mereka yang berhenti untuk mengambil hasil ternakan sepanjang tempoh PKP ini.

Sebagai contoh, peniaga di dalam pasar yang mempunyai struktur bangunan kekal sahaja dibenarkan beroperasi dan tidak termasuk pasar tani serta pasar malam.

Ini sekali gus mengurangkan jumlah peniaga yang mengambil bekalan dari pemborong dan mengurangkan permintaan kepada penternak.

Ia juga memberi impak kepada harga ikan di pasaran. Malah ada restoran-restoran makan laut yang telah mula berhenti beroperasi.

Sesetengah penternak juga mengadu mengenai penurunan harga jualan ikan sehingga mencecah harga kos.

   
Kita berharap agar industri akuakultur negara terus bertahan dan cepat bangkit serta pulih seperti sediakala setelah redanya wabak COVID-19 ini. - Gambar Dr Murni Marlina
 

Selain itu, industri akuakultur perlu bersaing dengan perikanan kerana sesetengah peniaga mengambil ikan terus dari nelayan dan dijual di pasar.

Hasil ternakan yang telah sedia untuk ‘dituai’ perlu disimpan di dalam kolam lebih lama oleh penternak kerana kurangnya permintaan.

Ini sekali gus menyebabkan kos penjagaan terutamanya dari segi makanan ikan meningkat.

Bukan itu sahaja, pengusaha juga perlu menampung kos pengurusan yang lain seperti peralatan, air, pekerja dan lain-lain.

Disebabkan ini, pekerja kolam perlu menjalankan tugas menjaga dan dalam masa yang sama gaji mereka perlu dibayar.

Ketidakstabilan ini menjadikan pengusaha akuakultur tersepit dari segi ekonomi.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menghalang aktiviti pertanian seperti perikanan dan akuakultur diteruskan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.

 

 

Fikir jalan

Pengusaha akuakultur mungkin perlu memikirkan jalan penyelesaian untuk mengelakkan ketidakstabilan perniagaan mereka.

Sebagai contoh, mereka boleh menjual hasil ternakan secara atas talian, penghantaran secara terus ke rumah atau menjual secara sejuk beku. Cara ini mungkin dapat membantu mengurangkan beban mereka.

Ada juga pengusaha mengambil inisiatif dengan meminta pihak pembekal mereka memanjangkan atau melewatkan tempoh pembayaran bekalan makanan ternakan dan alatan pengurusan kolam.

Di China, selepas perintah berkurung selama 50 hari, pengusaha akuakultur di sana tidak mengambil masa yang lama untuk pulih dan ramai telah kembali beroperasi.

Pemulihan industri di sana tidak sukar kerana rakyat China amat menggemari makanan laut dan negara itu mempunyai industri akuakultur yang besar seperti dilaporkan wartawan The Fish Site’s China.

Oleh itu, kita juga berharap agar industri akuakultur di negara ini terus bertahan dan cepat bangkit serta pulih seperti sediakala setelah redanya wabak COVID-19 ini.

Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak amat diperlukan oleh pengusaha akuakultur pada ketika ini.

Dalam situasi begini, bukan sahaja industri akukultur terjejas, malah semua perniagaan turut mengalami nasib yang sama.

 
 

Prof Madya Dr Murni Marlina Abd Karim ialah Ketua Laboratori Akuakultur Mapan, Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Beliau juga merupakan pensyarah dan penyelidik di Laboratori Kesihatan dan Penyakit Haiwan Akuatik di Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM dan juga Setiausaha Persatuan Perikanan Asia (AFS).

 

Tarikh Input: 16/04/2020 | Kemaskini: 16/04/2020 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEQNAs~