Disebalik Makna Prinsip Rukun Negara | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Disebalik Makna Prinsip Rukun Negara

Disebalik Makna Prinsip Rukun Negara

TEMA: KENEGARAAN

Disediakan oleh, Fahezah Nor Mohamed

 

DISEBALIK MAKNA PRINSIP RUKUN NEGARA

 

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah dibentuk pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Tujuan utama Rukun Negara dibentuk adalah untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Oleh itu, prinsip-prinsip dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi memastikan kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Melalui Rukun Negara, Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, iaitu dengan mencipta satu masyarakat yang adil agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama, menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak serta membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden dalam rangkaian kehidupan. Terdapat lima prinsip dalam Rukun Negara yang perlu dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

Kepercayaan kepada Tuhan dimaksudkan sebagai bangsa dan negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa islam adalah Agama Rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan atau perihal agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan merosakkan bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Prinsip kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara adalah berteraskan kepada amalan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seterusnya, prinsip ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan yang menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi dan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warganegara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Oleh hal yang demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia juga turut menentukan pola politik dan kedudukan sosioekonomi rakyat di negara ini. Ianya juga adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.

Prinsip keempat Rukun Negara adalah Kedaulatan Undang-Undang. Keadilan yang diasaskan atas kedaulatan undang-undang menunjukkan bahawa setiap rakyat  adalah sama taraf di sisi undang-undang. Selain itu, Kebebasan asasi juga terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara yang berasaskan perlembagaan perlu diterima dan dipertahankan kedaulatannya. Tanpa adanya undang-undang maka negara tidak dapat  mencapai keamanan dan kestabilan. Seterusnya, undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Menerusi  kewujudan undang-undang juga,  ianya akan menjamin kehidupan anggota masyarakat agar dapat hidup dalam suasana yang teratur dan selamat tanpa sebarang bentuk kekacauan. Hak-hak semua rakyat juga boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Akhir sekali, prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku setiap rakyat. Ianya bertujuan untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin dan  bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Kesimpulannya, Rukun Negara bukanlah sekadar prinsip yang yang hanya dilafazkan dengan ikrar tetapi ianya menuntut kesungguhan setiap warganegara untuk menghayati dan mengamalkannya. Justeru, mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain. Melalui perpaduan yang kukuh maka pertumbuhan ekonomi dapat ditingkatkan dan kestabilan politik dapat dikekalkan dalam sistem pemerintahan negara yang bercorak demokratik.

(Disesuaikan daripada risalah ‘Rukun Negara’ Kementerian  Penerangan  Malaysia,Januari 2013)

Tarikh Input: 26/09/2018 | Kemaskini: 26/09/2018 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDdWAy~