SIPUT gondang emas (SGE) atau nama saintifiknya Pomacea spp. merupakan antara ancaman utama penanaman padi di Malaysia dan boleh menjejaskan pengeluaran hasil padi negara.

Bagi mengatasi masalah tersebut, sekumpulan pakar pertanian dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Prof. Dr. Rita Muhamad Awang telah memformulasikan inovasi Sapputra Nanoemulsion bagi mengawal serangan siput gondang.

Menurut Dr. Rita, Sapputra Nanoemulsion berfungsi sebagai formulasi anti pemakanan (anti-feedant) kepada siput gondang.

“Teknologi ini dicipta menggunakan bahan-bahan berasaskan tanaman yang selamat untuk digunakan dan boleh diklasifikasikan sebagai teknologi hijau. Ia merupakan formulasi emulsi berasaskan air (EC) yang mengandungi partikel-partikel nano yang mana ia dapat meningkatkan keberkesanan formulasi ini. Yang lebih utama, ia mengandungi keupayaan untuk bertindak sebagai anti-pemakanan bagi siput gondang,” jelasnya. 

Selain itu tambahnya, ia mampu meminimumkan kebergantungan penanam padi terhadap penggunaan racun siput kimia, di samping dapat mengurangkan risiko masalah kesihatan pengguna dan pencemaran alam sekitar.

“Penghasilan inovasi ini merupakan inisiatif kumpulan penyelidikan kami bagi membantu untuk menyelesaikan permasalahan isu kawalan kepada kelestarian, jaminan dan keselamatan penghasilan produk makanan. Selain itu, kami cuba untuk mengubah amalan kebiasaan petani dengan menggunakan formulasi berteknologi hijau," katanya lagi.

Penyelidikan yang telah dijalankan sejak 2011 ini melibatkan penyelidik UPM iaitu Dr. Anis Syahirah Mokhtar dan Prof. Dr. Dzolkhifli Omar serta mendapat dana daripada Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) Kementerian Pendidikan Tinggi, Geran Putra Penyelidikan dan Inovasi (GPPI) serta Platcom Ventures Sdn. Bhd. dari Agensi Inovasi Malaysia.

INFO:

Walaupun dikatakan 'musuh tanaman', siput gondang yang juga dikenali sebagai siput sawah atau siput air merupakan sejenis siput yang kaya protein kerana ia memakan aneka macam tumbuh-tumbuhan air.