Padang Bola 'tangkap Muat' | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Padang bola 'tangkap muat'

Padang bola 'tangkap muat'

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di HARIAN METRO pada 22 Januari 2020.**

Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
   
FOTO HIASAN

IMPIAN besar mahu menjadikan bola sepak negara setaraf negara maju, namun mengejutkan 90 peratus padang utama seluruh negara hanya sekadar pada tahap memuaskan seterusnya boleh dikatakan jauh untuk dikategorikan sebagai canggih atau berkelas dunia.

Malah, pembinaan beberapa padang membabitkan stadium utama di negara ini hanya sekadar tangkap muat tanpa mengambil kira pandangan pakar sekali gus menyebabkan ia mudah rosak atau tidak diselenggara dengan baik.

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Abdul Shukor Juraimi berkata, ada tiga elemen penting dalam menghasilkan padang berkualiti iaitu membabitkan rekaan, pembinaan dan penjagaan padang.

Beliau berkata, faktor pengurangan bajet dalam pembinaan padang menyebabkan mutu rumput yang digunakan kurang memuaskan selain aspek penyelenggaraan tidak dilakukan secara berkala dan konsisten.

“Dalam usaha menghasilkan padang berkualiti sebenarnya perlu ada nasihat daripada pakar selain melantik kontraktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaaan dan bersedia melabur dalam mengekalkan kualiti rumput berkenaan.

“Jika diikutkan, dalam menghasilkan padang berkualiti kebiasaannya memerlukan bajet RM500,000 hingga RM1 juta dan ia bersesuaian dengan penggunaan padang itu untuk digunakan bagi tujuan pertandingan.

“Padang pula tidak boleh digunakan suka hati kerana sekurang-kurangnya dua kali saja seminggu bagi mengekalkan kualiti rumput dan mengelak ia rosak,” katanya ketika ditemui Arena Metro, di sini.

Isu padang terus menjadi antara tajuk panas setiap penganjuran perlawanan dengan terbaharu pengendali Selangor, B Sathianathan mengakui sudah penat bercakap mengenai permukaan padang di Stadium Shah Alam yang bertukar menjadi 'bendang' apabila hujan lebat di gelanggang keramat skuad Red Giants itu.

Jelas jurulatih berpengalaman itu, permukaan padang yang buruk bukan saja akan mengganggu persembahan pasukan, malah ia turut menjejaskan imej tuan rumah di mata pasukan luar.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, setiap padang perlu dijaga seperti anak emas dengan tidak dibenarkan dipijak sesuka hati dan mengelak terlampau kerap digunakan tanpa memikirkan kesan buruk.

“Setiap rumput boleh digunakan dalam tempoh maksimum lima tahun sebelum ditukar kepada lain seterusnya boleh mengelak daripada padang rosak.

“Kebanyakan padang utama di negara ini menggunakan rumput jenis Cowgrass kerana kos penyelenggaraan yang murah dan kurang cerewet berbanding yang lain.

“Namun, hasil pemantauan saya selama ini, melihat penyelenggaraan dan penjagaan rapi padang kurang dititikberatkan menyebabkan rumput mudah rosak dan akhirnya menjadi bahan kritikan sesetengah pihak,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini hanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki padang cantik dan terbaik dengan menitik berat mengenai penjagaan dan penyelenggaraan setiap kali selepas perlawanan.

  Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:30 AM
 
   
 
   
   
   

Tarikh Input: 22/01/2020 | Kemaskini: 22/01/2020 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDdSAU~