Pertahankan Perpaduan Dalam Kepelbagaian | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Pertahankan Perpaduan Dalam Kepelbagaian

Pertahankan Perpaduan Dalam Kepelbagaian

TEMA: PERPADUAN DAN PATRIOTISME

Disediakan oleh, Fahezah Nor Mohamed

 

 

PERTAHANKAN PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN

      Menghargai kepelbagaian budaya dan saling menghormati perbezaan agama ialah dua perkara yang sangat penting dalam mencapai keharmonian hidup dalam bermasyarakat. Hal ini demikian kerana menghormati budaya dan perbezaan agama merupakan kunci utama ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.           

           Kepelbagaian rakyat Malaysia dari segi budaya dan agama telah menjadikan Malaysia sebagai  sebuah negara yang sangat unik. Rakyat diberikan kebebasan mutlak dalam mengamalkan ajaran agama dan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang kekangan, batasan mahupun halangan walaupun agama Islam diisytiharkan agama rasmi negara kita. Hak dan kebebasan ini turut termaktub dalam perlembagaan dan menjadi asas untuk memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

         Selain itu, perayaan setiap agama juga disambut secara besar-besaran. Malah ada negeri yang memberikan cuti umum untuk menyambut perayaan-perayaan tersebut. Hal ini jelas membuktikan masyarakat Malaysia telah hidup dalam keadaan yang harmoni dengan berpegang kuat kepada sifat toleransi yang tinggi dan setiap kaum juga menunjukkan sikap saling menghormati antara satu sama lain. Sifat terpuji sebeginilah yang telah menjadi tunjang kepada kemajuan kita sebagai sebuah bangsa yang berjaya.

         Di samping itu, pemimpin luar turut mengakui dan mengiktiraf keunikan yang ada pada Malaysia sehingga melabel Malaysia sebagai model negara membangun. Pengiktirafan ini adalah berdasarkan penilaian mereka terhadap tiga perkara asas dan utama yang dimiliki oleh Malaysia iaitu kesuburan sistem demokrasi, mempunyai kerajaan yang efektif dan  pembangunan ekonomi yang baik. Ketiga-tiga perkara ini perlu dimantapkan supaya sejajar dengan kehendak rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan.  

            Oleh itu, bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun temurun ini. Malahan terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita harungi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita termasuklah generasi hari ini untuk mempertahankan keunikan tersebut dengan terus menyuburkan rasa saling menghormati dan memahami budaya dan kepercayaan semua kaum di Malaysia.

Tarikh Input: 26/09/2018 | Kemaskini: 26/09/2018 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXETBAU~