SUDUT PANDANG TERHADAP PENDIDIKAN TINGGI | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » SUDUT PANDANG TERHADAP PENDIDIKAN TINGGI

SUDUT PANDANG TERHADAP PENDIDIKAN TINGGI

TEMA: PENDIDIKAN
Disediakan oleh, Fahezah Nor Mohamed

SUDUT PANDANG TERHADAP PENDIDIKAN TINGGI

         Impak daripada persaingan dan cabaran ekonomi masa kini, minat masyarakat terhadap pendidikan tinggi sedikit terhakis. Lantaran itu, isu pengangguran yang seakan tiada kesudahannya juga mengakibatkan segelintir  masyarakat  tidak lagi menganggap pendidikan tinggi satu keperluan penting untuk membina kerjaya dan masa depan. Namun begitu, apa jua persepsi terhadap pendidikan tinggi masih ramai anak muda inginkan pendidikan lanjutan. Akan tetapi, sebelum melangkah ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pelbagai perkara harus difikirkan sedalam mungkin agar tidak dibawa arus dan hanyut tanpa ilmu yang sewajarnya dituntut.

 

         Anak-anak yang telah menamatkan pengajian  di peringkat SPM, STPM, matrikulasi dan sebagainya tentunya bercita-cita untuk ke universiti. Sejak awal persekolahan lagi ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi terhadap pendidikan anak mereka, iaitu menginginkan anak mereka memasuki menara gading. Hal ini merupakan sasaran yang realistik untuk dicapai dan dapat memotivasikan anak-anak supaya bersemangat untuk terus belajar. Namun begitu, tidak semua ibu-bapa memahami apakah sebenarnya pendidikan tinggi atau universiti? Umumnya, pendidikan tinggi dikaitkan dengan pembelajaran di universiti sehingga menggenggam segulung ijazah. Hakikatnya, pendidikan tinggi bukanlah setakat mendapat ijazah tetapi turut menekankan kemampuan seseorang menggunakan ilmu yang diperoleh untuk menjadi insan yang berjasa dan memanfaatkannya untuk pembangunan diri dan keperluan profesional. Selain itu, anak muda yang berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi sewajarnya tidak hanya semata-mata mengejar diploma, sarjana mahupun PhD, sebaliknya harus melengkapkan diri dengan kemahiran yang lain sebagai nilai tambah dalam pengukuhan diri. Segala sijil atau ijazah yang diperolehi hanyalah tiket untuk memasuki alam pekerjaan yang lebih baik. Kendatipun begitu, sijil atau ijazah yang diperoleh tidaklah bermakna kita mampu melaksanakan apa-apa tugas atau amanah dengan berkesan sekiranya tidak diadun dengan kemahiran insaniah apabila berada di alam pekerjaan nanti. Sememangnya banyak cabaran yang perlu ditangani dalam dunia pekerjaan yang memerlukan kita berfikir secara intelektual. Oleh hal yang demikian, maka pendidikan tinggi adalah antara platform terbaik untuk melestarikan pengetahuan dalam usaha mengangkat nilai dan peradaban insan dalam menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.

 
       

         Erti sebuah kejayaan di universiti juga  tidak cukup jika hanya sekadar ingin mencapai Purata Nilai Gred (PNG) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tertinggi semata-mata. Haruslah difahami bahawa GPA dan CGPA hanyalah ukuran yang digunakan oleh institusi pengajian tinggi untuk menilai tahap pencapaian pelajar dan turut  berorientasikan peperiksaan. Oleh itu, pelajar yang mengikuti program pengajian di universiti perlu menganjak pemikiran dengan melihat pendidikan tinggi sebagai pusat kecemerlangan insaniah dalam aspek penerokaan ilmu,  percambahan idea, pembentukan jati diri dan sebagainya. Rentetan itu, kekesalan juga timbul apabila terdapat segelintir anak muda yang diketahui bergiat aktif dan mempunyai pencapaian akademik yang baik dilihat mula longlai untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi diri apabila berada dalam arena pendidikan tinggi. Malah ada kalangan mereka memilih untuk ‘berehat’ apabila terdapat aktiviti yang dianjurkan di peringkat kolej kediaman, fakulti dan universiti. Hal ini disebabkan oleh sikap negatif diri pelajar itu sendiri yang terlalu  inginkan kebebasan semata-mata untuk mengejar GPA dan PNGK. Disamping itu, terdapat pula situasi di mana kelompok pelajar gemar mendapatkan penajaan bagi menjayakan  sesuatu aktiviti atau program. Walaupun ianya sesuatu yang perlu dan telah dilakukan sekian lama serta tidak menyalahi etika, namun ianya juga seolah-olah memperlihatkan sikap meminta-minta dengan cara yang mudah. Adalah lebih baik, pelajar berfikir lebih kreatif dengan menggalakkan penjanaan pendapatan dan bersatu hati untuk memantapkan kemahiran insaniah untuk memenuhi keperluan terhadap aktiviti atau program yang ingin dilaksanakan. Keadaan ini sekali gus dapat memberikan pengalaman berharga kepada setiap pelajar yang terlibat untuk lebih berdikari apabila berdepan dengan situasi di alam kerjaya dan kehidupan nanti.

 

         Oleh itu, pendidikan tinggi sememangnya mempunyai fungsi untuk mengembangkan kemampuan, membentuk watak dan peradaban dalam rangka mencerdaskan bangsa, mengembangkan aktiviti akademik dan memupuk pemikiran inovatif, responsif, kreatif, terampil, kerjasama serta berdaya saing. Hakikatnya, matlamat pendidikan tinggi juga jelas untuk mengembangkan potensi pelajar menjadi insan berilmu, beriman dan bertakwa seterusnya menyumbang keringat bakti kepada pembangunan serta kemajuan nusa dan bangsa.

 
(Sumber: Perbincangan ilmiah, bahan bacaan berkaitan pendidikan tinggi dan sebagainya)

Tarikh Input: 17/10/2018 | Kemaskini: 17/10/2018 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDdFAI~