Hari Disertasi Pertanian Meriah, Penyelidikan AlFaris Dinobat Sebagai Disertasi Terbaik | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Hari Disertasi Pertanian meriah, penyelidikan AlFaris dinobat sebagai Disertasi terbaik

Hari Disertasi Pertanian meriah, penyelidikan AlFaris dinobat sebagai Disertasi terbaik

SERDANG, 24 Jan – Fakulti Pertanian buat pertama kalinya menganjurkan Hari Disertasi Pertanian 2024 yang berlangsung pada 22 – 23 Januari 2024. Matlamat penganjuran adalah untuk membudayakan penghasilan penyelidikan ilmiah tahun akhir yang berkualiti serta berdaya saing.

Program yang berlangsung selama dua hari ini memperlihatkan pameran poster disertasi mengikut bidang kajian dan pertandingan Anugerah Disertasi Terbaik. Sebanyak 7 jabatan terlibat mempertaruhkan bidang kajian masing-masing iaitu bidang Sains Tanaman, Sains Tanah, Perlindungan Tumbuhan, Teknologi Pertanian, Sains Akuakultur, Sains Haiwan dan Sains Perniagaan Tani.

 

Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr, Juwaidah Sharifuddin berkata, penganjuran ini untuk mempersiapkan para pelajar dalam kerangka EXCEL yang memfokuskan kepada kaedah pembelajaran pendidikan berasaskan pengalaman dan kompetensi yang diterapkan dalam empat (4) teras dimana salah satunya adalah Research Infused Experiential Learning (REAL).

“Selain dapat menghasilkan dan membudayakan bidang penyelidikan di peringkat prasiswazah, Fakulti juga dapat melahirkan graduan yang holistik dan berkemahiran tinggi serta boleh menyesuaikan diri dengan perubahan, kreatif, terbuka kepada inovasi dan memiliki nilai-nilai pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

 

Salah seorang pemenang Poster Disertasi Terbaik, Syed Muhamad Nazdmi Bin Syd Zahari yang mewakili bidang Sains Tanaman berkata, platform ini dapat memberi peluang kepada pelajar tahun akhir berkongsi mengenai projek disertasi masing masing. Ia juga dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan pertanian, teknologi pertanian dan lain lain.

“Program seumpama ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang kerana impaknya memberikan penghasilan kajian yang berkualiti serta menarik minat pelajar untuk menyambung kajian di peringkat lebih tinggi,” katanya.

 

Sementara itu, Muhammad Alfaris Bin Yulfendi, pelajar Bacelor Sains Pertanian telah dinobatkan sebagai pemenang bagi pertandingan Disertasi Terbaik yang mewakili bidang Sains Tanah. Kesemua panel Juri penilai telah bersetuju dengan pembentangan mempertaruhkan tajuk kajian Influence of Different Biochar Variants and Forms on Soil Microbial Community and Plant Root Density di bawah selian Dr. Muhammad Firdaus Bin Sulaiman.

 

Selain dari aktiviti Disertasi Pertanian, Fakulti juga turut membuka kaunter kerjaya dengan kehadiran 13 syarikat terkemuka di Malaysia, antaranya FGV Holdings Berhad, Alltech Biotechnology Malaysia Sdn. Bhd., Kuala Lumpur Kepong Berhad, Idea Company Sdn. Bhd., U & US Solutions Sdn. Bhd., Aramijaya Agri & Agro Sdn. Bhd., Ken Microbes Biotech Sdn. Bhd., Agroharta Fertilizer Sdn. Bhd., Tanalink Sdn. Bhd., QL Corporate Services Sdn. Bhd., INO Nature Sdn. Bhd., Dindings Poultry Developement Sdn. Bhd. dan DrFish Sdn. Bhd.

Tarikh Input: 24/01/2024 | Kemaskini: 24/01/2024 | nikzaini

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXFBLAJ~