Pelajar Fakulti Pertanian Sertai Program Jom Turun Ladang Agrarians 2023 | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Pelajar Fakulti Pertanian Sertai Program Jom Turun Ladang Agrarians 2023

Pelajar Fakulti Pertanian Sertai Program Jom Turun Ladang Agrarians 2023

SERDANG, 1 Nov – Bersempena minggu AgroCamp 2023, Fakulti Pertanian dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) telah menganjurkan program ‘Jom Turun Ladang Agrarians’ di Ladang 10, UPM.
 
Program yang melibatkan semua pelajar baharu itu telah dijalankan bertujuan memperkasakan pertanian dan aktiviti pengajaran di luar bilik kuliah serta dapat memperkenalkan Ladang di bawah seliaan Fakulti.
 
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), YBrs. Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin berkata, aktiviti seumpama ini dapat membentuk semangat kerja berpasukan dan menzahirkan kecintaan kepada pertanian seawal semester pengajian dalam menghasilkan graduan yang lebih holistik.
 
“Para pelajar dapat mengenali lebih erat sesama rakan Fakulti disamping membiasakan diri dengan tanah dan selut sebagai realiti pembelajaran di sini,” katanya.
Sebanyak lima aktiviti yang telah dijalankan berdasarkan kumpulan pelajar dengan melibatkan aktiviti membaja, membatas, menanam sayur ulam raja, menyelenggara laman herba dan menanam tebu.
Penyelaras Ladang, YBrs. Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab berharap agar semua pelajar yang terlibat tidak serik dan kental menghadapi realiti bidang pertanian ini yang memerlukan keringat dan usaha tanpa Lelah.
 
“Walaupun berpanas dan berselut, para pelajar nampak masih semangat dan gembira melaksanakan aktiviti seperti ini,” katanya.
Program yang berjalan selama 2 jam itu berakhir pada pukul 10.30 pagi dan para pelajar perlu bergegas siap untuk meneruskan kuliah selepas ini.

Klip video program:

 

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 01/02/2024 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXFBPAC~