Penyelidik Padi U-Putra Rangkul Anugerah Khas Akademia Putra | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Penyelidik padi U-Putra rangkul Anugerah Khas Akademia Putra

Penyelidik padi U-Putra rangkul Anugerah Khas Akademia Putra

 
SERDANG, 20 Julai – Penyelidik padi U-Putra yang juga Pengarah Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Mohd Rafii Yusop berjaya meraih Anugerah Khas Akademia Putra yang merupakan anugerah utama bagi Anugerah Fellowship Naib Canselor pada Majlis Gemilang Putra 2023 (MGP 2023) di sini hari ini.
Beliau yang giat menjalankan penyelidikan dalam bidang pembiakbakaan dan genetik tanaman makanan dan perladangan seperti padi, sayur-sayuran dan kelapa sawit meluahkan rasa gembiranya setelah meraih anugerah itu selain turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis berkenaan.
 
Katanya, dua kejayaan yang di raih hari ini bukan daripada usahanya sendiri namun hasil kerjasama, kerja berpasukan dan toleransi bersama rakan-rakan sekerjanya yang lain.
“Saya tidak jangka untuk mendapat dua anugerah ini sekaligus. Mungkin hasil sumbangan saya pada UPM, geran-geran yang diperoleh termasuklah hasil penerbitan saya membuatkan UPM memilih saya untuk dapat anugerah utama ini.
“Namun, ini bukanlah usaha saya seorang tetapi kerjasama bersama rakan-rakan pejabat,” katanya ketika ditemui selepas MGP 2023 di Dewan Besar UPM, di sini, hari ini.
 
Anak ketujuh daripada 12 beradik ini akan sentiasa berusaha memberi sumbangan kepakarannya dalam penyelidikan sektor pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan negara dalam keadaan yang baik sepanjang 20 tahun perkhidmatannya di UPM.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada pensyarah muda agar sentiasa komited dalam memberi komitmen menjalankan penyelidikan dan pengajaran agar dapat menghasilkan produk baru yang memberi manfaat buat masyarakat dan negara.
Antara impak inovasi sosial dan komersial hasil penyelidikannya pada masyarakat ialah melalui varieti padi Putra 1 yang berhasil tinggi dan rintang penyakit karah padi.
Selain itu, beliau turut berjaya menghasilkan varieti padi Putra 2 yang toleran terhadap tenggelam semasa banjir dan beberapa varieti sayur-sayuran yang lain. -UPM

 

Tarikh Input: 15/08/2023 | Kemaskini: 15/08/2023 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXFBQAM~