Ummu Tidak Sangka Raih Hadiah Universiti | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Ummu Tidak Sangka Raih Hadiah Universiti

Ummu Tidak Sangka Raih Hadiah Universiti

 
Dua tahun tangguh pengajian demi jaga arwah emak, Ummu tidak sangka raih hadiah universiti
SERDANG, 25 Nov – Keputusan untuk menangguh pengajian pada empat tahun yang lalu bukanlah sesuatu yang mudah buat graduan Bacelor Sains Pertanian, Ummu Qatrunnada Liyana Kamaruddin, 25.
Beliau nekad dengan pilihan tersebut demi menjaga ibunya yang menghidap strok pada ketika itu.

“Saya tangguh pengajian pada semester keempat awal Januari 2019 dan sememangnya pelbagai pandangan daripada ahli keluarga, rakan dan pensyarah yang saya terima.
“Namun waktu itu saya melihat emak merupakan keutamaan dan saya sendiri tidak tahu bagaimana masa depan saya. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan menangguh pengajian selama dua tahun demi menjaga arwah emak,” katanya.
Luahnya arwah ibunda tercinta sentiasa percaya dan yakin bahawa beliau mampu untuk melakukan segala perkara dan sentiasa menyokongnya.

“Saya percaya garis masa setiap orang itu berbeza. Sungguhpun saya sedikit lewat bergraduat daripada rakan-rakan sebaya namun ini bukanlah penamat. Saya gembira akhirnya saya berjaya tamatkan Bacelor pada hari ini,” katanya.
Beliau ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) sidang 2 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKSAS), UPM turut meluahkan rasa syukur apabila menerima salah satu hadiah utama universiti.

Anak kelahiran Pahang ini tidak pernah menjangkakan akan menerima hadiah utama universiti iaitu Anugerah Sekuriti Makanan Farm Fresh.
“Sejujurnya saya tidak sangka berjaya menerima anugerah universiti namun kejayaan ini bukanlah lahir daripada diri saya sendiri tetapi doa daripada emak dan abah saya juga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meraih hadiah kecemerlangan Fakulti Pertanian iaitu Pingat Emas Institut Pertanian Malaysia. -UPM

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXFBMAO~