UPM Dan JWN Julung Kali Anjur Persidangan Pembungkusan Makanan ASEAN | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » UPM dan JWN julung kali anjur persidangan pembungkusan makanan ASEAN

UPM dan JWN julung kali anjur persidangan pembungkusan makanan ASEAN

SERDANG, 13 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Jabatan Warisan Negara (JWN) buat julung kalinya menganjurkan bengkel kelestarian pembungkusan makanan warisan ASEAN dan pengkomersilan untuk pasaran dunia.
Bengkel yang bertemakan 'Mengglobalkan Makanan Warisan ASEAN' ini memberi tumpuan kepada pentingnya memelihara teknik pembungkusan makanan warisan dan meneroka peluang untuk memasarkan produk makanan unik ini di pasaran global dalam mencipta peluang pertumbuhan ekonomi industri makanan rantau ini.
 
 
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata makanan merupakan alat menghubungkan pengunjung dengan warisan budaya dan negara.
"Pelancong belajar tentang budaya makanan warisan sesebuah negara dengan menikmati makanan yang disajikan.
"Usaha berterusan mesti diambil untuk melindungi warisan makanan negara yang mampan, melalui strategi pembungkusan dan pengkomersilan yang betul," katanya.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Nazamid Saari berkata penyelesaianan yang mampan dalam pembungkusan dan pengkomersilan makanan adalah penting untuk memelihara dan mempromosikan makanan warisan memandangkan pengguna semakin mencari pilihan yang mampan dalam penggunaan makanan.
 
 
“Penggunaan pembungkusan makanan yang mampan menawarkan banyak faedah seperti membantu melindungi alam sekitar dengan mengurangkan sisa dan menggalakkan penggunaan sumber boleh diperbaharui.
“Bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari PBB, banyak penyelidikan sedang dijalankan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) UPM yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan pembungkusan, mengurangkan kesan alam sekitar pembungkusan dan meminimumkan sisa pembungkusan,” katanya.
Kerjasama antara UPM dan JWN secara tidak langsung menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2025 matlamat dua iaitu Mewujudkan Hab Penyelidikan dan Inovasi yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari dan matlamat empat; Memperkasakan Pertanian dan Ketahanan Sekuriti Makanan.
 
Sementara itu, seorang peserta dari Suan Dusit University, Thailand, Dr. Niphatchanok Najpinji, 54 berkata bengkel ini memberi pendedahan ilmu kepadanya teknologi pembungkusan makanan yang digunakan di negara-negara jiran umumnya negara ASEAN.
"Setakat ini saya berasa seronok menyertai bengkel ini kerana saya dapat membina rangkaian baharu dalam bidang ini dan melihat teknologi apa yang negara lain lakukan untuk pembungkusan makanan dan menjaga warisan masing-masing," katanya.
Menariknya, setiap peserta bengkel akan mempelajari pelbagai kaedah pembungkusan tradisional yang digunakan di negara-negara ASEAN, termasuk pemilihan bahan pembungkusan, teknik pembalutan, dan kepentingan reka bentuk pembungkusan disamping strategi pemasaran dan promosi produk makanan warisan secara antarabangsa.
Selain itu, pakar dan praktisi dalam bidang pembungkusan makanan warisan akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang ini selain membincangkan cabaran serta peluang dalam memelihara dan mempromosikan kaedah pembungkusan tradisional.
 
Selain Malaysia, bengkel ini turut disertai oleh dua wakil dari setiap negara ASEAN, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, dan Laos. -UPM

 

Tarikh Input: 19/06/2023 | Kemaskini: 19/06/2023 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXFBPAY~