Majlis Perasmian Penutup Program Inkubasi Usahawantani Tahun 2018 | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Majlis Perasmian Penutup Program Inkubasi Usahawantani Tahun 2018

Majlis Perasmian Penutup Program Inkubasi Usahawantani Tahun 2018

Unit Inkubasi Usahawantani, Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian telah mengadakan Majlis Perasmian Penutup Program Inkubasi Usahawantani tahun 2018 pada 28 Jun 2018 (Khamis) jam 2.30 petang di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian, UPM Serdang. Majlis ini diadakan pada setiap tahun bagi meraikan para peserta Program Inkubasi Usahawantani yang telah berjaya menamatkan Program.

Program Inkubasi Usahawantani adalah program intensif bagi melahirkan usahawan dalam kalangan graduan khususnya dalam bidang pertanian selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan usahawan muda pertanian. Program ini dianjurkan oleh UPM sejak tahun 2012 dan berterusan hingga tahun ini iaitu tahun ketujuh. Program ini dilaksanakan dalam tempoh enam bulan secara sepenuh masa mulai bulan Januari hingga Jun setiap tahun.

Modul yang ditawarkan ialah tanaman rock melon secara fertigasi, ternakan ikan tilapia, ternakan ayam free-range, dan ternakan ruminan. Jumlah peserta pada tahun ini ialah seramai 27 orang yang menamatkan program dengan jayanya.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Putra Gemilang, ucapan YBhg. Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi (Dekan, Fakulti Pertanian) dan seterusnya dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. M. Iqbal Saripan (TNC Akademik dan Antarabangsa) sebelum tayangan multimedia. Seterusnya penyampaian Sijil Penyertaan dan Kad MyAgrosis kepada para peserta Program Inkubasi Usahawantani tahun 2018 diikuti dengan penyampaian Surat niat kepada 13 syarikat alumni Inkubasi sebagai rakan strategik pembangunan Program Inkubasi Usahawantani UPM. Seterusnya sesi fotografi dan tetamu kehormat diiringi Dekan dibawa ke bahagian pameran bergambar seterusnya melawat ke gerai jualan alumni Inkubasi di halaman luar Dewan Pertanian untuk sesi beramah mesra dan diakhiri dengan jamuan minum petang.

Program Inkubasi Usahawantani Fakulti Pertanian telah mendapat pengiktirafan UPM melalui Anugerah Projek Berimpak Tinggi 2017 dan Anugerah Projek Berimpak Tinggi 2018. Program ini telah melahirkan 90 buah syarikat yang terdiri daripada 163 peserta (daripada 305 peserta) atau 55 peratus secara keseluruhan sejak tahun 2012.

Majlis pada kali ini juga agak istimewa kerana menjemput para alumni Program Inkubasi Usahawantani. Selain itu, diadakan karnival jualan yang disertai oleh enam syarikat alumni Inkubasi bagi memeriahkan majlis.

 
 
 

Date of Input: 21/08/2018 | Updated: 21/08/2018 | amirahhani

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDTTA0~