FAKULTI PERTANIAN RAIKAN 32 PEMENANG ANUGERAH KECEMERLANGAN SEMPENA MAGC 2025 | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » FAKULTI PERTANIAN RAIKAN 32 PEMENANG ANUGERAH KECEMERLANGAN SEMPENA MAGC 2025

FAKULTI PERTANIAN RAIKAN 32 PEMENANG ANUGERAH KECEMERLANGAN SEMPENA MAGC 2025

FAKULTI PERTANIAN RAIKAN 32 PEMENANG ANUGERAH KECEMERLANGAN SEMPENA MAGC 2025
 
SERDANG, 27 Nov – Seramai 32 graduan Fakulti Pertanian diraikan dalam Majlis Anugerah Graduan Cemerlang (MAGC) 2025 yang berlangsung meriah hari ini, melibatkan 35 kategori hadiah peringkat prasiswazah dan siswazah.
 
Majlis tahunan yang dikoordinasikan oleh pejabat Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) itu menjadi platform penghargaan dan pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar dengan mendapat sokongan daripada 24 penaja terdiri daripada individu, persatuan, industri dan syarikat korporat pada tahun ini.
Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Loh Tech Chwen, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian para graduan yang menurutnya mencerminkan ketekunan, disiplin dan daya saing dalam menerajui masa depan bidang pertanian.
Salah seorang penerima utama, Nur Hana Damia Nor Akmal, pemenang Pingat Emas Institut Pertanian, menyatakan bahawa sumbangan penaja bukan sekadar bantuan kewangan tetapi merupakan kepercayaan terhadap potensi mahasiswa pertanian sebagai pemimpin masa depan.
 
“Sumbangan pihak penaja hari ini bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi dalam bentuk kepercayaan. Kepercayaan bahawa kami mampu menjadi pemimpin masa depan dalam dunia pertanian dan inovasi. Kami belajar bahawa ilmu tidak boleh berakhir di dalam dewan kuliah semata-mata; ia mesti disemai melalui khidmat, empati dan tanggungjawab sosial yang menjadikan kami insan berjiwa tani,” katanya.
Turut menjadi tumpuan ialah kejayaan Lim Wen Sheng, graduan Bacelor Sains Hortikultur dengan Kepujian, yang menerima Hadiah Akademik Nature’s Best bernilai RM5,000 beserta sijil kepujian.
 
Dikenali sebagai pelajar yang tekun dan konsisten, beliau kini telah ditawarkan pekerjaan selepas tamat latihan industri pada ogos yang lalu.
"saya tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima anugerah, namun mengakui penghargaan tersebut menjadi pemangkin untuk terus menyumbang kepakaran dalam bidang hortikultur," menurutnya.
 
Sementara itu, penglibatan aktif dalam kokurikulum selari dengan kecemerlangan akademik telah menobatkan Wan Muhamad Syauqi Wan Jusoh, graduan Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, sebagai penerima Pingat Emas Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd. Beliau membawa pulang RM4,000 serta pingat emas bernilai RM1,000 yang di taja oleh pihak Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd.
 
 
Majlis yang berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari itu turut diserikan dengan persembahan pelajar Fakulti Pertanian dan jamuan makan tengah hari sebagai tanda penghargaan kepada para hadirin, penaja serta keluarga penerima anugerah.
Dengan sokongan padu daripada barisan penaja, MAGC 2025 bukan sahaja meraikan kecemerlangan akademik, malah menjadi bukti bahawa graduan Fakulti Pertanian memiliki potensi besar untuk menerajui transformasi sektor pertanian negara.
 
Syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan sekalung penghargaan terima kasih kepada Jawatankuasa MAGC 2025.
 

Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
X, (11:00:58pm-11:05:58pm, 18 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]