Fakulti Pertanian Raikan Semangat Kesukanan Melalui SUKPER 2025

SERDANG, 20 Januari – Fakulti Pertanian melalui Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) dengan jayanya telah menganjurkan Program Sukan Fakulti Pertanian (SUKPER) 2025 dari 17 hingga 19 Januari 2025.
Program tahunan ini menghimpunkan pelajar, staf, dan alumni fakulti dalam satu platform untuk memupuk semangat kesukanan dan ukhuwah.
Pelbagai acara menarik telah dipertandingkan, termasuk bola tampar, sepak takraw, badminton, e-sukan MLBB, futsal, ping pong, bola jaring, dan tarik tali. Kejohanan ini menyaksikan persaingan sengit antara pasukan, namun nilai kerjasama dan persahabatan tetap menjadi tonggak utama.

Kemuncak program berlaku pada hari penutup apabila Kelab Bachelor Sains Hortikultur dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKPER 2025. Mereka berjaya merangkul gelaran tersebut hasil kejayaan konsisten dan semangat berpasukan yang luar biasa sepanjang kejohanan.
"Dengan kehadiran pelbagai kategori peserta, SUKPER 2025 bukan sekadar pertandingan tetapi menjadi landasan untuk mengeratkan hubungan komuniti fakulti," kata wakil penganjur semasa majlis penutupan.

Melalui kejayaan ini, SUKPER terus membuktikan kepentingannya sebagai salah satu platform terbaik untuk meningkatkan kecemerlangan warga fakulti dalam bidang sukan dan rekreasi. Program ini diharap dapat diteruskan dan ditingkatkan pada masa hadapan bagi merapatkan ukhuwah serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar dan staf.
Date of Input: 22/01/2025 |
Updated: 22/01/2025 | wazien
MEDIA SHARING