Fakulti Pertanian Sambut 83 Pelajar Mobiliti dari India sempena Boot Camp on Modern Agriculture
SERDANG, 1 Sept - Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyambut kedatangan 83 pelajar mobiliti dari India sempena program Boot Camp on Modern Agriculture yang berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 September 2024.
Program yang diselaraskan oleh Pejabat Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan, dan Antarabangsa) dengan kerjasama PERMATANI ini bertujuan untuk memperkayakan pengetahuan peserta dalam bidang pertanian, khususnya industri pertanian di Malaysia.
Program ini menampilkan pelbagai perkongsian daripada pakar-pakar industri termasuk Gentari Sdn. Bhd., Entomal Biotech Sdn. Bhd., CK Aquaculture & Sento Biotech, serta AGM Smart Agriculture. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan ilmu daripada pegawai akademik fakulti dan berpeluang melawat institusi penyelidikan seperti MARDI serta beberapa lokasi di sekitar UPM dan Kuala Lumpur.
Salah satu acara kemuncak program ini adalah penyertaan para peserta dalam 9th International Agriculture Conference (IAC2024) yang akan diadakan di Marriot Hotel, Putrajaya dari 3 hingga 5 September 2024. Dengan bertemakan "Revolutionizing Agriculture for a Sustainable Future," persidangan dwitahunan ini merupakan acara utama Fakulti Pertanian yang terus berusaha mendorong inovasi dan kelestarian dalam sektor pertanian.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk memahami amalan pertanian moden di Malaysia tetapi juga membuka ruang untuk pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua negara, seterusnya mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam bidang pertanian.
Date of Input: 12/09/2024 |
Updated: 12/09/2024 | wazien
MEDIA SHARING