Fakulti Pertanian UPM Kembang Kemahiran Pertanian Bersama SHG Melaka | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Fakulti Pertanian UPM kembang kemahiran pertanian bersama SHG Melaka

Fakulti Pertanian UPM kembang kemahiran pertanian bersama SHG Melaka

MELAKA, 23 Mei - 24 pelajar Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berkongsi ilmu fertigasi penanaman cili dan baja organik vermikompos bersama 29 orang pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG), Melaka di sini, hari ini bagi mengembangkan kemahiran ilmu pertanian.
 
Pensyarah Jabatan Teknologi Pertanian UPM, Dr. Jasmin Arif Shah berkata perkongsian ilmu pertanian dalam program Membina Masa Depan dengan Pertanian 2.0 ini membantu dan menyokong komuniti mengeluarkan hasil tanaman dan memenuhi kehendak pasaran bagi menjamin sekuriti makanan.
 
 
"Perkembangan kemahiran pertanian kepada pelajar SHG, Melaka sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar ini di masa hadapan dengan dunia pertanian dan ada juga minatnya berjaya dipupuk untuk ceburi bidang ini.
"Pada awalnya ada pelajar SHG di sini yang tidak minat dengan pertanian tetapi setelah melakukan dua aktiviti hari ini secara fizikal mereka berasa tertarik.
"Hari ini, dua modul yang kita bawa iaitu fertigasi penanaman cili dan penghasilan baja organik vermikompos menggunakan buku kecil (booklet) yang dihasilkan sendiri oleh 24 pelajar Kursus Komunikasi Pengembangan dan Demonstrasi Kaedah Pertanian, (TKP3205)," katanya.
 
 
Jelasnya buku modul ini memberi kemudahan kepada pelajar SHG Melaka untuk melaksanakan aktiviti berdasarkan carta gambar dan penerangan yang ringkas.
"Kita juga hendak melakukan pemindahan ilmu pertanian kepada komuniti tanpa mengira lapisan masyarakat," katanya yang juga menyimpan hasrat untuk melakukan program pertanian 3.0 di sini.
 
Sementara itu, Pengarah Program, Tamilarasan A/L E Nagarajan, 23, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian berkata perkongsian ini dapat membantu pelajar yang berminat dalam bidang pertanian untuk mula melakukan penanaman dan pengurusan pelbagai jenis tanaman. -UPM
 

Date of Input: 31/05/2023 | Updated: 31/05/2023 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEUKAt~