“Mud Run 2.0 UPM Edisi Merdeka” Semarak Gaya Hidup Sihat dan Patriotisme di Kampus Hijau

Serdang, 9 Ogos 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pertanian sekali lagi
menganjurkan program Larian “Mud Run” yang kini memasuki edisi kedua dengan tema Mud
Run 2.0 UPM Edisi Merdeka bertempat di Children & Sensory Garden, Fakulti Pertanian, UPM.

Dengan tagline “Larian Patriotik, Cabaran Semula Jadi”, program ini berjaya menghimpunkan 250 peserta
daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, termasuk penyertaan istimewa daripada kanak
kanak berkeperluan khas (OKU) yang turut serta dalam segmen khas “Sensory Mud Trail”. Segmen ini
direka bentuk secara inklusif bagi memberi peluang kepada mereka merasai cabaran dalam persekitaran
selamat dan mesra OKU sekali gus menyerlahkan komitmen UPM dalam mendukung prinsip universiti
untuk semua. Penganjuran edisi kedua ini adalah kesinambungan daripada kejayaan Mud Run
edisi sulung yang diadakan pada 27 Mei 2023.

Program ini bukan sekadar larian lasak, tetapi turut
menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, penaja, komuniti
luar dan warga kampus. Ia juga selari dengan agenda “Pertanian Untuk Rakyat” (PUTRA) yang
menekankan keterlibatan komuniti dan kesejahteraan rakyat dalam semua inisiatif UPM.


Kehadiran kanak-kanak OKU dalam program ini membuktikan bahawa fizikal bukan penghalang
untuk sama-sama menyertai dan merasai semangat kemerdekaan. Ia juga mencerminkan
pendekatan inklusif, holistik dan prihatin yang menjadi teras kepada penganjuran program
berimpak tinggi seperti ini. Mud Run 2.0 UPM Edisi Merdeka sekali lagi menzahirkan iltizam UPM
untuk terus memperkasa komuniti melalui pendekatan sihat, mesra alam dan menyeluruh
membina negara melalui pendidikan, pertanian dan penyatuan rakyat pelbagai latar.


Date of Input: 18/08/2025 | Updated: 18/08/2025 | wazien

Faculty of Agriculture
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA