PROGRAM IBADAH KORBAN FAKULTI PERTANIAN UPM CETUS SEMANGAT KEPRIHATINAN DAN UKHUWAH WARGA KAMPUS

Serdang, 9 Jun 2025 – Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Program Ibadah Korban buat kali pertama sempena sambutan Aidiladha tahun ini. Program tersebut melibatkan penyembelihan sebanyak enam ekor lembu dan berlangsung di Rumah Sembelih Fakulti Pertanian dengan penyertaan yang amat menggalakkan daripada warga UPM.
Program ini menjadi wadah penyatuan warga fakulti daripada kalangan pensyarah, staf dan pelajar yang bersama-sama berganding bahu menjayakan proses ibadah korban. Penganjurannya bertujuan untuk memupuk nilai keprihatinan sosial, mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus serta memberi pendedahan amali kepada pelajar mengenai pelaksanaan korban dalam konteks pengurusan ternakan.
Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Loh Teck Chwen, berkata bahawa inisiatif ini amat bertepatan dengan misi fakulti dalam mendidik pelajar secara holistik, merangkumi aspek akademik, praktikal serta pembangunan nilai murni.
“Program ini bukan sahaja menyemai nilai murni seperti pengorbanan, kesyukuran dan kerjasama dalam kalangan pelajar, malah turut memberi mereka peluang pengalaman langsung dalam keseluruhan proses ibadah korban daripada penyembelihan hingga ke pengurusan pengagihan daging yang amat relevan dengan pengajian mereka dalam bidang pertanian dan penternakan,” jelas beliau.
Sebanyak enam ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar kampus serta masyarakat setempat sebagai tanda keprihatinan dan sumbangan UPM terhadap komuniti luar.
Pihak fakulti merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan yang lebih besar dan terancang pada masa hadapan dengan harapan dapat memberi manfaat yang lebih meluas serta terus menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.


Date of Input: 09/06/2025 | Updated: 09/06/2025 | wazien

Faculty of Agriculture
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA