Program Kembara Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) Di Kuala Lumpur: Mahasiswa UPM Perkenal Pertanian Bandar Di Tiga Lokasi PPR | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Program Kembara Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) di Kuala Lumpur: Mahasiswa UPM Perkenal Pertanian Bandar di Tiga Lokasi PPR

Program Kembara Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) di Kuala Lumpur: Mahasiswa UPM Perkenal Pertanian Bandar di Tiga Lokasi PPR

Program Kembara Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) di Kuala Lumpur: Mahasiswa UPM Perkenal Pertanian Bandar di Tiga Lokasi PPR
PPR Raya Permai, 23 Jun 2024 – Bermula 21 sehingga 23 Jun 2024, Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (PERKASA UPM) telah berjaya menjalankan Program Kembara Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) di tiga lokasi perumahan: PPR Hiliran Ampang, PPR Raya Permai, dan Perumahan Awam Seri Perlis 2. Program Kembara PTC ini tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pertanian, malah turut merangkumi Program Anak Angkat. Dalam inisiatif ini, mahasiswa dan mahasiswi UPM menetap bersama keluarga angkat mereka di PPR tersebut selama tiga hari dua malam, untuk mencari pengalaman baru serta mengeratkan hubungan antara pelajar dengan masyarakat yang tinggal di PPR tersebut.
 
 
Isu utama yang diketengahkan dalam program ini adalah penyelesaian masalah ketidakstabilan bekalan makanan yang berpunca daripada tahap kadar sara diri (SSL) yang rendah, serta peningkatan jumlah produk makanan yang diimport. Stok makanan yang diimport seperti sayur-sayuran dan buah-buahan melibatkan penggunaan racun untuk mengekalkan kesegaran. Ini mengakibatkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan. Aktiviti bertani di rumah seperti menanam sayur-sayuran boleh memberikan hasil tanpa perlu dibeli serta lebih selamat untuk dimakan. Oleh itu, projek ini dijalankan untuk membudayakan aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat bagi menyokong dasar sekuriti negara serta menjamin keselamatan makanan melalui kaedah Pertanian Tanpa Cangkul (PTC).
 
 
PTC adalah projek pertanian berkonsepkan tanaman secara vertikal menggunakan tong UGD. Komuniti didedahkan dengan kaedah PTC yang mudah, mampu milik, mampan dan praktikal, disamping tong, tanah dan biji benih disediakan untuk kegunaan komuniti. Bukan itu sahaja, cara pembuatan tong juga turut dikongsi bersama kerana ini mampu memberi pendapatan sampingan kepada pembuatnya.
 
 
Projek ini melibatkan 3 lokasi yang diketuai oleh ketua berbeza, iaitu Syafiqah Izzati binti Hanafe, Pelajar Tahun 3 Bacelor Sastera Bahasa Arab sebagai pengarah di PPR Hiliran Ampang, Adibnur Faaezah Binti Abd Razak, Pelajar Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul dengan Kepujian Tahun 3 sebagai pengarah di PA Seri Perlis 2 dan Arman Darwish Malek Ridwan, Pelajar Tahun 1 Bacelor Teknologi Pertanian Pintar (BTPP). Projek ini juga diselia dan dipantau oleh Dr. Nur Bahiah Binti Mohamed Haris, Dr. Jasmin Binti Arif Shah, Pensyarah Jabatan Teknologi Pertanian Fakulti Pertanian, Encik Muhamad Zubair Bin Muhamad Nazeri serta En. Ahmad Shukry bin Yahya selaku pegawai pemantau. Projek ini adalah di bawah geran University Community Social Enterpise & University Social Entreprise Competition (UCSE&USCE) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
 
 
Program turut dirasmikan oleh YB Teresa Kok Suh Kim (Ahli Parlimen Seputeh) pada 23 Jun 2024 di Dataran Taman Herba PPR Raya Permai, Sungai Besi. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Loh Teck Chwen, Pegawai Pertanian Bahagian Pertanian Bandar, En. Muhamad Adli Salihin Bin Samsudin, wakil dari Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL, Pn. Norazmin Adibah Othman, serta wakil Jawatankuasa Kebun Kejiranan Bandar LA21 KL. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran komuniti penduduk PPR serta mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program Kembara Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak komuniti untuk mengamalkan pertanian bandar, sekaligus menyokong dasar sekuriti makanan negara dan memastikan keselamatan makanan.

Date of Input: 27/06/2024 | Updated: 27/06/2024 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
W, (04:28:24pm-04:33:24pm, 15 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]