Telur Ayam Dari Ladang, Buah Tangan Buat Warga Baharu Fakulti Pertanian | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Telur Ayam Dari Ladang, Buah Tangan Buat Warga Baharu Fakulti Pertanian

Telur Ayam Dari Ladang, Buah Tangan Buat Warga Baharu Fakulti Pertanian

Telur Ayam Dari Ladang, Buah Tangan Buat Warga Baharu Fakulti Pertanian
 
Serdang, 8 Okt – Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini telah menerima seramai 287 pelajar baharu bagi ambilan pertama Sesi 2025/2026 melibatkan pelbagai program di peringkat bacelor.
Pencapaian ini menyaksikan kebanyakan program pengajian berjaya mencapai sasaran unjuran kemasukan, sekali gus menunjukkan bahawa bidang pertanian dan keterjaminan makanan terus mendapat perhatian dalam kalangan pelajar tempatan mahupun antarabangsa. Ia juga menggambarkan kepentingan bidang ini sebagai salah satu tunjang utama dalam pembangunan ekonomi negara.
 
 
Sambutan kali ini turut diserikan dengan simbolik pemberian sebiji telur ayam rebus kepada setiap pelajar baharu. Simbolik tersebut memperlihatkan keupayaan Fakulti Pertanian yang memiliki ladang sendiri serta menjadi lambang kekuatan dan keistimewaan aset fakulti dalam menyokong pengajaran, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
 
Dekan Fakulti Pertanian, YBhg. Prof. Dr. Loh Teck Chwen, dalam ucapannya menekankan komitmen fakulti untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi yang berpengetahuan luas dalam pertanian moden serta mampu menyumbang kepada kelestarian makanan negara.
"Diharapkan semua pelajar baharu dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang pengajian dengan mengembangkan bakat, menimba pengalaman dan memberi sumbangan kembali kepada masyarakat," ujarnya.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); YBrs. Prof. Dr. Uma Rani a/p Sinniah, Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa); ketua-ketua jabatan; serta barisan kepimpinan PERMATANI dan kelab pelajar Fakulti Pertanian.
 
 
Dengan kemasukan pelajar baharu ini, fakulti yakin dapat terus melahirkan graduan yang berdaya saing, berjiwa kepimpinan dan berperanan sebagai agen perubahan dalam landskap pertanian serta keterjaminan makanan negara.
 

Date of Input: 14/10/2025 | Updated: 14/10/2025 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
W, (04:37:44pm-04:42:44pm, 15 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]