UPM, CQUniversity Australia Jalin Kerjasama Strategik Perkukuh Pendidikan Pertanian Global
SERDANG, 27 Mac 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kerjasama strategik bersama CQUniversity (CQU), Australia melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan kepada pemerkasaan akademik dan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertanian.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM dan Professor Nick Klomp, Naib Canselor dan Presiden CQUniversity, Australia.
Turut hadir menyaksikan majlis ialah YBhg. Profesor Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Dr. Loh Teck Chwen, Dekan Fakulti Pertanian UPM, serta barisan pengurusan tertinggi kedua-dua universiti.
Kerjasama ini membuka ruang kepada pelbagai inisiatif strategik, antaranya penganjuran simposium dan mesyuarat akademik, program mobiliti pelajar serta staf, pelaksanaan program Summer School, dan kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi yang berpotensi menghasilkan penerbitan saintifik di peringkat antarabangsa.
Menurut Naib Canselor UPM, kerjasama ini bukan sekadar simbolik, malah menjadi platform penting dalam memperkasa pendidikan tinggi dan penyelesaian lestari dalam sektor pertanian global.
UPM merakamkan penghargaan kepada CQUniversity, Australia atas kepercayaan yang diberikan serta menzahirkan ucapan tahniah kepada Profesor Dr. Loh Teck Chwen dan seluruh warga Fakulti Pertanian UPM atas komitmen dalam merealisasikan kolaborasi strategik ini. Jalinan ini diharap dapat memberi manfaat berpanjangan kepada kedua-dua institusi serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Date of Input: 02/04/2026 |
Updated: 02/04/2026 | wazien
MEDIA SHARING