Bekalan Makanan Musim Covid-19 | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Bekalan makanan musim Covid-19

Bekalan makanan musim Covid-19

Penulisan oleh Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin pakar ekonomi pertanian dan sumber daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia
- 19 April 2020
 

SEBELUM wabak Covid-19 melanda, ketidakcukupan makanan sudah menjadi satu masalah di peringkat global. Lebih 820 juta orang terlibat, bermakna satu daripada setiap sembilan penduduk dunia menghadapi masalah tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

Ekoran wabak ini, dijangkakan lebih ramai lagi penduduk dunia tidak cukup makanan. Kumpulan yang paling rentan (vulnerable) adalah golongan miskin bandar, penduduk di kawasan terpencil, pendatang, petani kecil dan pekerja tidak formal.

Di negara kita, walaupun pada umumnya tiada isu yang signifikan berkaitan sekuriti makanan di peringkat nasional di mana Malaysia berada di tangga ke-28 daripada 113 buah negara dalam Indeks Sekuriti Makanan Global 2019, namun masih terdapat isu ketidakcukupan makanan di peringkat isi rumah.

Contohnya, kajian oleh Rusidah Selamat dan beberapa pengkaji lain bertajuk Household Food Insecurity in Malaysia: Findings from Malaysian Adults Nutrition Survey (2015) mendapati 13.4 peratus orang dewasa telah mengurangkan saiz makanan dan melewatkan makanan utama kerana masalah kewangan. Di Sabah dan Sarawak, angkanya adalah 20.3 peratus manakala Semenanjung Malaysia 11.5 peratus.

Setakat ini, kesan wabak Covid-19 terhadap sekuriti makanan belum diketahui sepenuhnya. Gangguan dalam rantai makanan adalah minimum kerana bekalan adalah mencukupi dan stabil kecuali kes terpencil di Cameron Highlands seperti yang dilaporkan di media. Tetapi apa yang jelas adalah ia akan memberi kesan negatif pada rantai bekalan makanan, daripada pengeluar hingga ke pemproses, pemasar, pengangkut dan pengguna, jika rantai bekalan makanan tidak ditangani dengan baik.

Buat masa ini, kekurangan bekalan makanan bukanlah satu masalah, tetapi isunya adalah pengedaran dan pergerakan makanan dari ladang ke tempat yang diperlukan.

 

Rantaian

Justeru, adalah mustahak untuk meningkatkan daya tahan sistem rantaian bekalan makanan kita. Ini dapat dilakukan dengan memperkukuhkan pengurusan pasaran dan mencegah gangguan rantaian bekalan makanan. Kegiatan berkaitan pengeluaran, penyimpanan, pengedaran, pemprosesan, pembungkusan, peruncitan dan pemasaran makanan tidak boleh dihentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kita juga memerlukan langkah-langkah untuk melindungi pekerja dalam rantaian bekalan dan mencegah penyebaran Covid-19. Langkah-langkah bagi mengelakkan insiden kekurangan makanan adalah seperti berikut:

• Petani mesti mempunyai akses berterusan ke pasaran. Pergiatkan usaha melalui gabungan pasaran swasta dan perolehan kerajaan.

• Memastikan bekalan input pertanian seperti benih, baja dan makanan ternakan tidak terputus bagi mengeluarkan makanan secara berterusan.

• Mengurangkan kerugian lepas tuai yang mungkin meningkat disebabkan masalah pengangkutan dan akses ke pasaran dengan meningkatkan kapasiti penyimpanan dan pemprosesan berskala kecil.

• Memastikan stok makanan mencukupi sekiranya berlakunya darurat.

• Memastikan bahawa logistik makanan dan pengangkutan tidak dihentikan semasa PKP. Dalam masa yang sama, pihak berwajib harus memastikan semua langkah keselamatan dan pencegahan wabak dipatuhi.

• Memastikan peserta di sepanjang rantaian bekalan makanan tidak berisiko menularkan Covid‑19 dengan meningkatkan kesedaran mengenai peraturan keselamatan dan kesihatan makanan.

• Bagi pengguna yang terputus mata pencarian disebabkan PKP, kerajaan perlu memastikan kesinambungan bantuan mata pencarian mereka terutamanya dalam kalangan miskin bandar B40.

Dalam jangka masa panjang melangkau wabak Covid-19 ini, beberapa initiatif perlu dilaksanakan bagi menjamin sekuriti makanan negara, antaranya:

1. Berbanding sektor perindustrian, sektor pengeluaran makanan terdedah kepada banyak risiko yang susah diramal. Oleh itu, pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan, seperti pemantauan dan ramalan harga bagi mengurangkan risiko dalam pengeluaran makanan. Persediaan kecemasan dan langkah-langkah untuk mencegah bencana alam, seperti skim pengairan dan kawalan banjir harus diwujudkan.

2. Pengeluaran makanan belum lagi diamalkan seperti tanaman industri. Justeru, ia memerlukan usahawan tani yang boleh mengamalkan pengeluaran makanan secara komersial dan berteknologi tinggi.

3. Melaksanakan dasar guna tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk pengeluaran makanan.

4. Memperkasa peranan koperasi dalam meningkatkan pendapatan petani.

5. Inovasi dan pelaburan dalam teknologi sistem pertanian akan memainkan peranan penting dalam memupuk produktiviti pertanian. Dengan itu, sektor pengeluaran makanan perlu membangunkan dan menggunakan pelbagai teknologi dan amalan ladang yang berkonsepkan pertanian pintar. Contoh teknologi sistem pertanian ini ialah sensor tanah dan air, pengesanan cuaca, pengimejan satelit, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, nanoteknologi, aplikasi GPS, robot dan pertanian tepat.

6. Memandangkan penghuni bandar adalah pembeli makanan bersih dan bergantung pada pendapatan untuk mengakses makanan, maka mempromosikan pertanian bandar dapat mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah bandar.

7. Penyelidikan. Walaupun output penyelidikan seperti penerbitan jurnal, petikan, dan paten amat penting, hasil sebenar penyelidikan adalah nilai dan kekayaan yang dijana daripada pengkomersialan. Dengan itu, hasil penyelidikan perlu dipakej yang merangkumi inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan.

 

Akses

Secara amnya, kecukupan makanan tidak menjadi masalah, tetapi masalahnya adalah pengedaran dan pergerakan makanan dari ladang ke pengguna. Apa yang penting sekarang ialah pihak berkuasa perlu memantau harga makanan secara berterusan, memastikan penyampaian input pertanian kepada petani secara berkesan, memastikan kelancaran operasi logistik rantaian bekalan makanan, memastikan penyimpanan stok makanan yang mencukupi dalam keadaan darurat, dan memastikan aliran perdagangan yang lancar dan memanfaatkan sepenuhnya pasaran antarabangsa sebagai alat penting untuk mendapatkan bekalan dan permintaan makanan.

Sebagai kesimpulan, seperti rawatan perubatan, pembekalan makanan mesti dibenarkan melintasi sempadan dengan bebas. Petani mesti terus mendapat akses ke pasar melalui gabungan pasar swasta dan perolehan kerajaan. Rantaian bekalan makanan mesti terus berfungsi dengan baik bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi.

 

Tarikh Input: 19/04/2020 | Kemaskini: 19/04/2020 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
C1593787190