Industri Perlu Guna Getah Tempatan, Lonjakan Harga Komoditi | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Industri perlu guna getah tempatan, lonjakan harga komoditi

Industri perlu guna getah tempatan, lonjakan harga komoditi

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris

*Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 22 September 2022

HARGA getah yang terus rendah di pasaran menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, SAYED HESHAM IDRIS, AIMY AHMAD dan YATIMIN ABDULLAH 22 September 2022, 7:45 am

 

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengadakan peraturan mandatori memaksa industri dalam negara menggunakan getah tempatan untuk membantu meningkatkan harga komoditi itu.

Dasar eksport sebagai keutamaan pada masa ini tidak membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana permintaan yang tidak konsisten dan saingan getah tiruan, polimer.

Malah, peranan penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah yang disifatkan tidak mencapai tahap yang sepatutnya menyebabkan potensi untuk mengkomersialkan bahan berasaskan komoditi itu di takuk lama walaupun permintaan industri dalam negara sangat tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pengembangan Pertanian dan Komunikasi, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Jasmin Arif Shah berkata, meskipun Malaysia mempunyai negara-negara yang bersedia menerima getah eksport, namun menjadi kebimbangan jika permintaannya rendah.

“Dari segi permintaan dan pengeluaran harus dilihat ke mana ia dieksport? Adakah tahap permintaan daripada negara tersebut tinggi? Jika tidak, kita tidak boleh mengeluarkan produk getah yang banyak selain ada persaingan daripada negara lain.

“Boleh kata kita masih jauh ketinggalan berbanding negara pengeluar getah lain, tetapi kita tahu demografi kita berbeza dan ladang kita tidak sebesar Thailand yang boleh menampung keperluan domestik.

“Thailand sendiri mengurangkan kebergantungan eksport, jadi tidak mustahil kita juga boleh guna pendekatan sama. Namun, kita perlu menjalankan analisis keperluan dan kehendak industri. Saya percaya keperluan getah ini banyak memberi manfaat, kita tidak mahu tumpu kepada getah asli sahaja, sebaliknya boleh dipelbagaikan untuk kegunaan domestik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kawasan tanaman getah perlu diwarta sebagai kawasan khas dan tidak diubah kepada tanaman lain atau projek pembangunan, kerana ia masih boleh diguna secara optimum sebagai penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, katanya, wujud kelemahan dari aspek pengurusan seperti kekurangan tenaga buruh bagi mengusahakan tanaman getah, kos buruh rendah, persepsi pekebun, peralihan tanaman kepada tanaman lain seperti sawit dan ladang yang ‘terbengkalai’.

Awal bulan ini, Mingguan Malaysia melaporkan ketidaktentuan harga getah di pasaran yang masih di tahap rendah terus menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara kerana hampir dua bulan harga komoditi itu mengalami penurunan harga mendadak.

Ia bermula daripada RM3.20 sekilogram membabitkan getah beku kepada RM2.30 sekilogram ketika ini, manakala RM3.80 sekilogram menurun kepada RM2.60 bagi getah kering yang lebih 10 hari.

Ekoran itu, banyak pihak menggesa supaya kerajaan menaikkan harga lantai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.50 sekilogram dengan kadar segera untuk membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.

Ironinya, gesaan itu bukanlah baharu kerana sejak tahun lalu Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dilaporkan meneliti cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50, namun masih belum mendatangkan hasil.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ketiadaan badan khas yang mengurus dan merancang secara terus dengan pekebun kecil, sehingga menyebabkan kehidupan golongan itu kekal miskin perlu diatasi.

Jelasnya, Malaysia mesti bersedia berdepan kepupusan getah asli jika terus bergantung dengan mengeksport getah ke luar negara yang dilihat bukan lagi jaminan pendapatan.

Beliau menyarankan kerajaan mengeluarkan produk baharu atau inovasi berasaskan getah asli dan separa sintetik untuk pasaran domestik yang diyakini mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

“Kita boleh manfaatkan getah melalui pilihan lain iaitu mengeluarkan produk baharu berasaskan getah atau beralih kepada komoditi lain seperti kelapa sawit dan koko yang lebih stabil. Tapi, kita harus bersedia industri getah akan mengecil.

“Kita adalah negara pengeluar getah terbesar, tetapi saya tidak nampak kerajaan memainkan peranan menerusi hasil diperoleh dari pekebun kecil. Contoh mudah industri pembuatan tayar kita tiada, semuanya hasil import daripada syarikat-syarikar besar luar negara,” katanya.

Harga getah tidak konsisten sepanjang 22 tahun

Harga lantai getah fizikal bagi gred SMR 20 (Standard Malaysian Rubber) tidak pernah menunjukkan harga konsisten sepanjang tempoh 22 tahun, yang menunjukkan komoditi itu berdepan situasi paling mencabar.

Semakan Utusan Malaysia berdasarkan harga lantai rujukan getah fizikal daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) mendapati, terdapat trend kenaikan dan penurunan bagi harga sen per kilogram getah mengikut tahun-tahun tertentu.

Harga lantai getah sekilogram terendah yang pernah direkodkan secara purata iaitu 205.56 sen per kilogram (RM1.16) pada 2001 kemudian meningkat kepada 523.07 per kilogram (RM2.95) pada tahun 2005. Terdahulu, sebanyak 242.52 sen per kilogram (RM1.37) dicatat pada tahun 2000.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2008, harga getah fizikal sekali lagi meningkat kepada 831.37 sen per kilogram (RM4.68). Ia kemudian menurun kepada 637.36 sen per kilogram (RM3.59) pada 2009 dan meningkat semula sehingga 1,058.08 sen per kilogram (RM5.96) pada 2010.

Harga lantai tertinggi yang pernah direkodkan oleh LGM mencecah sehingga 1,348.33 sen per kilogram (RM7.60) pada 2011, satu-satunya harga paling tinggi yang pernah dicapai.

Bagaimanapun, LGM membuat penafian bahawa rekod-rekod tersebut adalah rujukan sahaja, manakala harga dagangan sebenar tertakluk kepada rundingan di antara pembeli dan penjual. Ini menyebabkan harga getah menjadi tidak menentu.

Selepas tahun tersebut, harga getah menurun antara 952.50 sen per kilogram (RM5.37) pada 2012 kepada 521.90 sen per kilogram (RM2.94) pada 2015. Harga getah fizikal pada 2016 sehingga setakat September 2022 merekodkan nilai antara 568.45 sen per kilogram (RM3.20) dan 701.46 sen per kilogram (RM3.95).

‘Sawit boleh dapat lebih RM2,000 sebulan, getah belum tentu’ 

Faktor cuaca yang tidak menentu, selain kejatuhan harga getah sekerap sejak beberapa tahun lalu menjadi penyebab seorang penduduk di Kampung Jelutong, Kuala Nerang di sini beralih ke tanaman sawit kira-kira tiga tahun lalu.

Walaupun pada awalnya dikatakan melakukan kerja ‘gila’, Johari Seman, 53, berkata, dia tidak menyesal menebang kesemua pokok getah yang ditanam sebelum ini untuk mula menanam kelapa sawit di kebun miliknya seluas satu hektar.

Katanya, pendapatan menanam kelapa sawit lebih lumayan berbanding pokok getah yang mana hasilnya tidak menentu dan terpaksa menggantung ‘pisau’ sekiranya hari hujan.

“Saya sudah enam kali menuai hasil sawit sejak mula beralih menanam pokok sawit berbanding tanam getah yang memakan masa tujuh tahun sebelum mengeluarkan hasil selepas ditanam atau melalui proses tanaman semula.

“Malah, dari segi pendapatan menanam sawit ia lebih baik kerana boleh mencecah sehingga lebih RM2,000 sebulan dengan harga sekilogram ketika ini 60 sen. Untuk getah belum tentu dapat sebanyak itu walaupun sehingga tempoh tiga bulan kerana pelbagai faktor,” katanya ketika ditemui di sini.

Akhbar ini melaporkan, walaupun terdapat enam agensi terlibat secara langsung dalam menguruskan komoditi getah, nasib 500,000 pekebun kecil di seluruh negara yang berhadapan pelbagai masalah tidak banyak berubah.

Ketika ini, dua kementerian utama iaitu Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terlibat dalam mengurus dan menjaga kebajikan pekebun terlibat.

Tambah Johari, dia ketika ini hanya meletakkan sasaran untuk meraih empat tan buah sawit dalam tempoh sebulan bagi 115 pokok yang ditanam di kebunnya demi kelangsungan hidup dan untuk menyara keluarga.

Selain itu, tambahnya, penjagaan tanaman kelapa sawit lebih mudah berbanding getah selain ketahanan sebatang pokok boleh mencecah sehingga usia 30 tahun sebelum perlu melalui proses tanaman semula.

“Jika getah purata ketahanan pokoknya hanya sekitar 15 tahun dan perlu ditebang untuk ditanam semula, malah harga purata bagi satu tan sawit ketika ini juga berpatutan iaitu sekitar RM600 mengikut gred.

“Pernah awal-awal saya menuai hasil dahulu harga satu tan sawit mencecah lebih RM1,000 dan walaupun kini turun hampir separuh ia tidak terlalu menjejaskan pendapatan berbanding jika menanam getah yang harga lantainya baru RM2.50 sekilogram,” katanya.

Johari berkata, dia sedar masih ramai pekebun di sebahagian besar negeri ini kekal menanam getah berbanding mahu mencuba untuk tanaman sawit, namun, yakin akan ramai mengikut jejak langkahnya demi meraih pendapatan yang lebih baik.

Kerajaan perlu berani bangunkan industri getah

Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) mahu kerajaan berani membangunkan industri getah di negara ini bagi memastikan harga komoditi itu terus stabil sekali gus membantu golongan penoreh dan pekebun kecil.

Presidennya, Kameruzaman Ab. Rahman berkata, langkah itu boleh dilakukan menerusi jalinan kerjasama dengan syarikat gergasi dunia untuk melabur dalam industri ini.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan boleh melibatkan syarikat tempatan dalam menjayakan misi berkenaan bagi membela nasib golongan penoreh.

“Paling ketara ketika ini ialah kita (Malaysia) merupakan pengeksport utama getah mentah ke luar negara. Bila kita eksport ke luar negara, maka, harga akan ditentukan oleh pihak pembeli (luar negara).

“Sedangkan getah yang kita eksport ini akan diproses menjadi tayar. Selepas itu, kita import dan beli balik tayar dengan harga yang tinggi dan tidak pernah turun-turun. Jadi, sudah tiba masanya kerajaan membangunkan industri ini,” katanya ketika dihubungi.

Kameruzaman memberitahu, pada masa yang sama kerajaan perlu memikirkan cara supaya lebih ramai orang muda dan rakyat malaysia ingin menceburkan diri dalam industri getah asli peringkat hiliran.

Katanya, kerajaan perlu berani meletakkan tahap peniaga getah atau pekebun kecil di peringkat yang lebih tinggi agar perniagaan untuk industri ini akan dapat lebih berkembang.

“PUGBM mahu kerajaan mengawal getah asli import. Oleh demikian satu pelan tindakan (lima tahun) sudah patut dikeluarkan agar industri getah asli tempatan dapat dilindungi dan boleh terus berkembang.

“Akta sedia ada berkaitan pengawal seliaan industri getah hendaklah dipinda supaya lebih mengutamakan industri getah tempatan,” ujarnya.

Tetap menoreh walau harga getah rendah

‘Kami tiada pilihan. Hanya ini sahaja pekerjaan yang ada di kampung menyebabkan kami terus bertahan menoreh walaupun harga getah terlalu rendah’.

WALAUPUN harga getah rendah, Ahmad Ali tetap menoreh di kebun miliknya di Kampung Kuang Tengah, Chemor dekat Ipoh. – FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Itu merupakan kata seorang penoreh getah di Kampung Kuang Tengah, Chemor dekat sini, Ahmad Ali, 66, yang menoreh di tanah seluas 1.21 hektar, itu pun kebun getah milik orang lain.

Menurutnya, selepas bersara daripada pekerjaan di sebuah syarikat swasta, dia mula mencari pendapatan dengan menoreh getah di tanah milik orang lain pada tahun 2005, bermakna hasilnya dibahagi dua dengan pemilik tanah.

Katanya, dengan harga getah sekerap yang
jatuh harga antara RM2.20 dan RM2.30 sekilogram ketika ini, tidak banyak yang dapat dihasilkannya sebagai punca pendapatan keluarga.

“Apa pilihan yang kami ada selain daripada
menoreh? Walaupun harganya rendah, saya dan penoreh di kampung ini tiada pilihan untuk pekerjaan lain, cuma menoreh.

“Disebabkan harga getah yang rendah, saya terpaksa membuat pekerjaan lain seperti mengambil upah menebas kebun atau dusun penduduk.

“Jika semata-mata bergantung harap kepada hasil getah, memang tidak cukup untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, harga getah ketika ini terlalu rendah berbanding sedikit masa lalu yang mana harga lebih RM3 sekilogram.

Katanya, dengan harga itu, penoreh boleh merasai pendapatan yang sedikit lebih walaupun tidak seperti harga getah pernah mencatat harga sehingga RM9 sekilogram.

“Saya berharap kerajaan melihat dengan serius masalah harga getah yang terlalu rendah selain harga baja dan racun yang semakin naik disebabkan kenaikan harga barangan yang lain.

“Kami tidak pasti kenapa harga getah terlalu rendah dan harga sekarang antara yang paling rendah pernah kami rasai,” katanya. – UTUSAN

 

Tarikh Input: 23/09/2022 | Kemaskini: 23/09/2022 | amirtaufiq

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
BVLcDAv:03:48