Kesan Penggunaan Probiotik Dalam Menangani Penyakit Ikan Dan Udang | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Kesan penggunaan probiotik dalam menangani penyakit ikan dan udang

Kesan penggunaan probiotik dalam menangani penyakit ikan dan udang

 KOLUMNIS AWANI  | MALAYSIA

Prof Madya Dr Murni Marlina Abd Karim, Pensyarah dan penyelidik di Laboratori Kesihatan Ikan, Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian UPM
Diterbitkan pada Ogos 29, 2019 17:27 MY

 

AKUAKULTUR adalah salah satu sumber ekonomi utama untuk kebanyakan negara dan ia merupakan salah satu komponen penting dalam aspek sekuriti makanan.

Di Malaysia juga, industri akuakultur semakin berkembang pesat dan dijalankan secara intensif. Impak dari ternakan secara intensif adalah kecenderungan untuk berhadapan dengan serangan penyakit.

Penyakit merupakan punca utama permasalahan dalam industri akuakultur kerana ianya boleh menyebabkan kematian yang tinggi sekali gus memberi kerugian yang besar kepada penternak dan industri.

Haiwan akuatik seperti ikan dan udang mudah terdedah kepada jangkitan yang disebabkan oleh mikroorganisma seperti parasit, bakteria, kulat dan virus.

Kebanyakan penyakit adalah berpunca daripada bakteria patogen dari spesis Vibrio, Aeromonas, Streptoccoccus, Staphylococcus dan lain-lain.

Bakteria patogen tersebut boleh mengakibatkan nekrosis kulit pada haiwan akuatik, pencairan organ dalaman, kurang selera makan, melambatkan proses tumbesaran serta pada tahap yang kronik boleh menyebabkan kematian yang tinggi.

Hal ini menyebabkan penternak menghadapi kerugian dan kehilangan hasil ternakan secara besar-besaran.

Pelbagai cara telah diambil untuk menangani penyakit dalam industri akuakultur. Antaranya adalah penggunaan antibiotik dan bahan kimia yang sangat terkenal di kalangan penternak di mana ia dapat mencegah dan mengawal penyakit dengan cepat.

Contoh bahan kimia ialah formalin, copper sulphate dan malachite green.

Manakala penyalahgunaan antibiotik secara berlebihan boleh menyebabkan bakteria penyebab penyakit menjadi kebal kepada antibiotik dan menjadikan penyakit tersebut sukar dirawat.

Bagaimanpun, penggunaan bahan tersebut telah dilarang disebabkan kesan yang tidak baik dalam jangka masa panjang kepada ternakan dan juga manusia.

 

Oleh yang demikian, penggunaan probiotik adalah salah satu cara bagi menangani penyakit haiwan akuatik ini.

 

Kesan penggunaan probiotik dalam menangani penyakit ikan dan udang

Penggunaan probiotik di dalam sistem ternakan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya adalah ianya dapat meningkatkan tindak balas imun haiwan. - Gambar hiasan

 

Apa itu probiotik?

Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang merangsang pertumbuhan organisma lain.

Secara saintifik, probiotik didefinisikan sebagai mikroorganisma hidup di mana jika diberikan dalam jumlah yang betul akan memberi kesan baik terhadap haiwan/pengguna dengan meningkatkan keseimbangan mikrobiota di usus.

Probiotik telah menunjukkan kesan yang baik dalam mengawal penyakit. Fungsi mikrobiota asli yang mendiami saluran pencernaan atau permukaan tubuh haiwan perumah dapat dibaiki atau diimbangi dengan penggunaan probiotik.

Penggunaan agen antimikrobial yang berlebihan untuk kawalan penyakit telah menyebabkan evolusi penahanan antimikrobial oleh bakteria patogen dan juga boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Oleh itu, probiotik menyediakan alternatif lain yang dapat membantu meningkatkan tahap kualiti penternakan ikan dan udang serta ianya mesra alam sekitar yang tidak akan menjejaskan kesihatan manusia.


Kajian mengenai probiotik

Kajian mengenai penggunaan probiotik dalam penternakan ikan dan udang telah lama dijalankan.

Bakteria dari spesis Bacillus adalah antara yang sering dikaji. Hal ini kerana spesis Bacillus mempunyai anti-tumor dan aktiviti imunomodulator yang melindungi ikan dan udang daripada serangan penyakit oleh bakteria.

Sehubungan itu, saintis telah membuktikan campuran Bacillus subtilis dan Lactobacillus acidophilus dapat melindungi ikan tilapia daripada serangan penyakit yang berpunca daripada bakteria patogen Aeromonas hydrophila.

Hal ini menyebabkan ikan tilapia mempunyai kemandirian yang lebih tinggi berbanding tanpa penggunaan probiotik.

Selain itu, kajian di Taiwan menunjukan apabila bakteria Lactobacillus Plantarum dicampurkan di dalam makanan harian ikan kerapu, ikan tersebut menunjukkan tumbesaran yang baik dan cepat, peningkatan imun sistem serta mempunyai ketahanan yang lebih baik daripada penyakit yang disebabkan oleh spesis Streptococcus.

Penggunaan probiotik juga dapat membantu meningkatkan kualiti air.

Banyak kajian yang membuktikan kandungan ammonia dapat dikurangkan dan tahap oksigen di dalam kultur air dapat ditingkatkan apabila probiotik dari spesis Bacillus dicampurkan di dalam kultur ternakan.


Kelebihan penggunaan probiotik

Penggunaan probiotik di dalam sistem ternakan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya adalah ianya dapat meningkatkan tindak balas imun haiwan.

Ini dibuktikan melalui dapatan kajian saintis yang membuktikan campuran probiotik bakteria Lactobacillus dan Bacillus meningkatkan pertumbuhan dan kelangsungan hidup udang putih serta melindungi daripada patogen Vibrio harveyi dan virus bintik putih.

Perlindungan ini disebabkan oleh rangsangan sistem imun yang dapat meningkatkan aktiviti fagositosis dan mempunyai ciri antibakteria.

Selain itu, ianya juga boleh meningkatkan status kesihatan dan rintangan terhadap penyakit. Ini kerana ia dapat mencegah jangkitan penyakit berjangkit.

Selain itu, probiotik juga menghasilkan antibakteria yang dapat menghalang bakteria patogen daripada menjangkiti organisma lain serta meningkatkan tumbesaran haiwan akuatik.

Probiotik juga dapat membaiki serta mengekalkan tahap kualiti air yang baik dalam kultur ternakan, di mana keberkesannya telah dibuktikan dapat  mempercepatkan proses penguraian bahan organik di dalam air seperti mengurangkan nitrogen dan kepekatan fosforus serta ammonia, nitrit dan hidrogen sulfida.

Di samping itu, penggunaan probiotik juga dapat mengurangkan dan membunuh patogen bakteria di dalam air dan haiwan ternakan.

Dalam salah satu kajian, apabila probiotik dicampurkan di dalam air, ianya dapat meningkatkan status kesihatan udang harimau dan mengurangkan kehadiran bakteria patogen.

Selain itu, probiotik juga dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia di dalam kultur ternakan. Penggunaan bahan kimia adalah tidak spesifik dan kurang efisien serta mempunyai harga yang tinggi.

Kebergantungan terhadap penggunaan bahan kimia dapat dikurangkan dengan menggunakan probiotik.

Selain itu, pendedahan terhadap penggunaan probiotik pada penternak perlu ditekankan agar dapat menghasilkan hasil ternakan yang bebas bahan kimia, mapan, berkualiti dan selamat di mana sekali gus meningkatkan sekuriti makanan di Malaysia.

Secara kesimpulannya, penggunaan probiotik di dalam ternakan ikan dan udang untuk tujuan mengawal penyakit adalah sangat digalakkan.

Hal ini kerana penggunaan probiotik adalah mesra alam sekitar berbanding penggunaan bahan kimia yang boleh menyebabkan kemudaratan dalam jangka masa panjang.



** Prof Madya Dr. Murni Marlina Abd Karim adalah Pensyarah dan Penyelidik di Laboratori Kesihatan Ikan, Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Setiausaha Persatuan Perikanan Asia (AFS).

*** Bidang kepakarannya adalah dalam pengurusan kesihatan dan penyakit haiwan akuatik

**** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI

 

Tarikh Input: 04/09/2019 | Kemaskini: 04/09/2019 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
C1574124019