Kongsi Ilmu Tani Bersama Pelajar Sains Pertanian SMKS | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Kongsi Ilmu Tani bersama Pelajar Sains Pertanian SMKS

Kongsi Ilmu Tani bersama Pelajar Sains Pertanian SMKS

SERDANG, 8 Jun - Enam pelajar Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi ilmu penanaman pokok menggunakan konsep perpaduan dengan pertanian bersama 29 orang murid pelajar sains pertanian tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah (SMKSI), Taman Sri Serdang, Serdang, baru-baru ini.
 
Pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian, Tamilarasan A/L E Nagarajan, 23, berkata beliau bersama lima rakannya yang lain membahagikan tanaman pokok mengikut kegunaan harian masakan masyarakat di Malaysia berdasarkan kaum di negara ini dalam mengangkat prinsip perpaduan dan mengaplikasikan Malaysia Madani.
“Kita dedahkan kepada pelajar pendidikan khas ini cara tanaman pokok yang sering digunakan dalam masakan masyarakat Malaysia mengikut majoriti kaum yang ada iaitu pokok pandan mewakili kaum melayu, daun kari mewakili kaum India dan daun sup mewakili kaum Cina.
“Seperti yang kita tahu bangsa melayu sering menggunakan daun pandan untuk memasak nasi lemak, bangsa india pula menggunakan daun kari untuk memasak kari dan kaum cina sering menggunakan daun sup dalam masakan mereka,” katanya.
Jelasnya, murid diajar kaedah aktiviti asas penanaman pokok yang berakar iaitu kaedah penanaman pokok (tree planting) bermula dengan proses penyediaan lubang penanaman diikuti dengan aktiviti penyediaan campuran tanah dan penanaman pokok.
"Tip penjagaan serta penyelenggaraan pokok selepas menanam dan aspek jarak tanaman juga disampaikan kepada murid-murid ini bagi memudahkan mereka memantau tumbesaran tanaman kelak," katanya.
Dalam pada itu, lima orang pelajar Pendidikan Khas di SMKSI, Taman Sri Serdang, Serdang turut serta dalam program tersebut.
 
Pensyarah Kursus Kenegaraan Malaysia SKP2101, Dr Murni Wan Mohd berkata projek ini telah memberi impak yang positif kepada murid sekolah tersebut dengan membawa kelainan yang pelbagai untuk memupuk ilmu pertanian serta menerapkan konsep perpaduan.
“Secara tidak langsung, Projek Cintakan Negara (PCN) turut mengeratkan perpaduan antara murid dan mereka mengetahui kegunaan tumbuhan dalam masakan mengikut majoriti bangsa yang ada di Malaysia. Setiap kumpulan juga kita campur pelbagai bangsa dan mereka bekerjasama menanam pokok dengan baik.
“Dalam masa yang sama, semangat kekitaan dan tolong-menolong antara pelajar UPM, murid dan guru sekolah ini juga telah mengukuhkan perasaan cinta akan negara bangsa yang dikatakan makin pudar di kalangan generasi muda,” katanya. -UPM

Tarikh Input: 16/06/2023 | Kemaskini: 16/06/2023 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEdBAz~