Limau Mandarin Terdedah Racun Perosak, Ini Saranan Pakar Untuk Kurangkan Risiko | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Limau mandarin terdedah racun perosak, ini saranan pakar untuk kurangkan risiko

Limau mandarin terdedah racun perosak, ini saranan pakar untuk kurangkan risiko

Limau mandarin terdedah racun perosak, ini saranan pakar untuk kurangkan risiko

Oleh YBrs. Prof Madya Dr Christopher Teh Boon Sung
Ketua Jabatan Pengurusan Tanah
Fakulti Pertanian

 

Pengambilan limau mandarin yang mengandungi sisa racun perosak melebihi tahap selamat boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka pendek dan panjang, bergantung jenis bahan kimia digunakan serta tahap pendedahan.

Ketua Jabatan Pengurusan Tanah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Christopher Teh Boon Sung, berkata dalam jangka pendek, gejala mungkin timbul termasuk sakit perut, loya, muntah, cirit-birit, pening kepala dan keradangan pada tekak atau kulit.

"Sesetengah racun perosak seperti organofosfat, khususnya chlorpyrifos, boleh menjejaskan sistem saraf dan menyebabkan kekejangan otot atau kesukaran bernafas.

"Dalam jangka panjang, pendedahan berterusan terhadap sisa racun perosak boleh menyebabkan gangguan kesihatan lebih serius, termasuk kerosakan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang," katanya kepada BH.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan limau mandarin secara umumnya masih selamat untuk dimakan.
Christoper berkata, bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada residu racun perosak dan bahan kimia berbahaya dalam buah-buahan, pengguna boleh mengamalkan beberapa langkah keselamatan yang lebih berkesan.

"Salah satu kaedah terbaik ialah memilih buah dari sumber dipercayai, terutamanya produk yang mempunyai label atau sijil seperti Amalan Pertanian Baik (GAP) atau produk organik yang disahkan oleh badan berwibawa.

"Sebelum dimakan, buah-buahan sebaiknya dicuci dengan air bersih yang mengalir sambil digosok dengan berus lembut bagi menanggalkan kotoran dan residu racun perosak pada permukaan kulit," katanya.

Jelasnya, kaedah merendam buah-buahan dalam air, larutan garam atau air cuka juga boleh membantu mengurangkan residu racun perosak pada tahap tertentu.

"Bagi buah-buahan yang mempunyai kulit tebal seperti limau, mengupas kulit sebelum makan boleh mengurangkan risiko pendedahan kepada racun perosak yang melekat pada permukaannya.

"Beberapa kajian mendapati merendam buah dalam air selama 10 hingga 15 minit atau mencuci buah dengan air mampu mengurangkan sisa racun perosak sebanyak 40 hingga 90 peratus, bergantung jenis bahan kimia," katanya.

Bagaimanapun, menurut Christopher, kaedah-kaedah seperti itu tidak berkesan terhadap racun perosak sistemik seperti imidacloprid dan dimetoat yang diserap ke dalam tisu buah.

"Meskipun mencuci dan merendam dapat membantu mengurangkan pendedahan kepada sisa racun perosak, ia tidak menjamin buah benar-benar bebas daripada bahan kimia berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan keselamatan makanan import seperti limau mandarin, pihak berkuasa boleh memperketat kawalan melalui beberapa pendekatan yang lebih sistematik.

"Langkah boleh diambil ialah meningkatkan kekerapan ujian makmal terhadap sampel buah yang diimport adalah menggunakan teknologi canggih seperti spektrometri massa bagi mengesan kehadiran sisa racun perosak dengan lebih tepat dan pantas.

"Kerjasama dengan negara pengeksport amat penting bagi memastikan hanya buah-buahan yang memenuhi piawaian keselamatan dibenarkan memasuki pasaran tempatan," katanya.

Tambah beliau, penguatkuasaan undang-undang terhadap pengimport yang gagal mematuhi peraturan keselamatan makanan juga perlu diperketat.

"Hukuman lebih tegas, termasuk denda tinggi atau sekatan import bagi pihak yang didapati bersalah, boleh menjadi langkah pencegahan yang berkesan.

"Sistem pelabelan lebih jelas dan terperinci mengenai kaedah penanaman serta penggunaan racun perosak juga wajar diperkenalkan agar pengguna dapat membuat pilihan yang lebih bermaklumat semasa membeli buah-buahan import," katanya.

Terdahulu, analisis dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap 243 sampel limau mandarin sempena musim perayaan, mendapati sembilan sampel atau 3.7 peratus daripadanya tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985) Akta Makanan 1983.

KKM mendakwa semua sampel yang melanggar PPM 1985 itu sudah dilupuskan.

 

Tarikh Input: 19/02/2025 | Kemaskini: 19/02/2025 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:22:22:18~noCache