Pasukan Khas Ditubuhkan Untuk Jamin Kelestarian FELDA - PM | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Pasukan khas ditubuhkan untuk jamin kelestarian FELDA - PM

Pasukan khas ditubuhkan untuk jamin kelestarian FELDA - PM

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di bernama.com pada 30 Jun 2020
 
Selasa, 7 Julai 2020 | 4:32pm
 
Oleh Abdul Razak Raaff dan Noor Hidayah Tanzizi
 

SUNGKAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengarahkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan kemapanan kewangan dan kelestarian FELDA.

Perdana Menteri berkata pasukan petugas khas bagi menangani isu membabitkan FELDA itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Bursa Malaysia.

"Pasukan itu sedang berusaha mengenal pasti kaedah terbaik bagi menjamin kelestarian kewangan FELDA yang akan memberi manfaat kepada seluruh warga peneroka. Pasukan itu akan membentangkan hasil laporan kepada saya dalam masa terdekat.

"Ini adalah sebagai langkah awal untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan FELDA," katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 Peringkat Kebangsaan di Dewan Besar Tun Abdul Razak MRSM FELDA Trolak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh serta Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 bertemakan 'Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, FELDA dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengenal pasti 15 projek keusahawanan bernilai tinggi untuk dilaksanakan di kawasan tanah rancangan dengan pembabitan peneroka.

Kerjasama itu menyasarkan 3,170 usahawan baharu dalam tempoh lima bulan dengan menggunakan fasiliti di Fakulti Pertanian UPM.

Perdana Menteri yakin kerjasama itu akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada warga FELDA, sekali gus meningkatkan pendapatan peneroka.

Kerajaan akan terus membantu melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan warga FELDA.

Kerajaan juga memperuntukkan RM200 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara jalan kebun untuk manfaat peneroka di tanah-tanah rancangan FELDA seluruh negara.

"Langkah ini dijangka akan meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil peneroka dan mengurangkan beban hutang peneroka selama ini yang terpaksa menanggung kos pembaikan jalan kebun," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, bagi memelihara kebajikan pendidikan anak-anak peneroka, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM45 juta bagi menaik taraf Asrama Semai Bakti FELDA di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuantan.

"Kita harap peruntukan ini dapat menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada anak-anak peneroka dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan pendidikan mereka," katanya.

Tarikh Input: 14/07/2020 | Kemaskini: 14/07/2020 | syazreena

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
C1597099833