PKP: Manfaatkan Masa Anda Dengan Kebun Bandar | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » PKP: Manfaatkan masa anda dengan kebun bandar

PKP: Manfaatkan masa anda dengan kebun bandar

Oleh Dr Adibah Mohd Amin
Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Bidang kepakaran: Isotop pertanian, kimia tanah, kesuburan tanah

 

TEROKAI dan ceburilah hobi baharu tatkala masa yang kini banyak terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Manfaatkanlah masa dengan membuat aktiviti seperti berkebun meskipun di halaman rumah yang kecil.

Meskipun kita mungkin tidak mampu atau tidak dapat menyumbang kepakaran sebagai anggota barisan depan (frontliners) dalam menangani pandemik COVID-19, kita sebenarnya secara langsung memberi sumbangan besar dengan hanya duduk di rumah tatkala PKP.

 

Malah kitab boleh menjadi ‘wira’ semasa duduk di rumah dengan membuat perancangan awal dan melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh meringankan beban kewangan keluarga.

Inilah masa yang sesuai untuk mencuba hobi baharu seperti berkebun.

Kebun bandar atau pertanian bandar adalah pilihan yang sesuai. Selain dapat menuai hasilnya di kemudian hari, ia adalah aktiviti yang sihat umpama beriadah yang membuatkan badan berpeluh.

Sayuran yang dibeli di pasar, boleh dijadikan benih atau anak pokok sekiranya sukar mendapatkan benih di kedai untuk memulakan hobi ini.

Terdapat pelbagai cara untuk memulakannya. Paling mudah, dengan menggunakan bahan terpakai seperti botol minuman untuk dijadikan sebagai pasu.

Antara sayur yang mudah ditanam ialah sawi, dengan menggunakan lebihan keratan batang sawi yang berakar. Rendam bahagian itu semalaman supaya segah sebelum memindahkannya ke botol minuman yang telah diisi dengan tanah.

Ia sesuai dilakukan bersama ahli keluarga dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah.

Aktiviti kebun bandar ini menggunakan barang terpakai yang boleh didapati di sekitar rumah, yang juga boleh membantu memelihara alam sekitar.

Ia juga secara tidak langsung boleh meningkatkan sekuriti makanan negara andai setiap isi rumah melakukannya, walaupun berskala kecil.

Perbelanjaan barangan dapur juga dapat dijimatkan terutama pada situasi seperti sekarang.

Anak-anak juga didedahkan dengan kepentingan pertanian sebagai sumber makanan. Mereka akan lebih menghargai nilai makanan yang terhasil daripada usaha sendiri.

Hasil tanaman juga boleh dikongsi bersama dengan jiran, yang akan dapat mengeratkan lagi hubungan kejiranan.

Kita juga boleh belajar membuat kompos berskala kecil untuk dijadikan baja tanaman sayuran. Kompos adalah sumber utama pembajaan organik.

Sisa barangan dapur, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kulit telur, sisa kopi, kulit bawang dan kulit pisang boleh dicampurkan dengan sisa kertas atau daun-daun kering mengikut nisbah yang sesuai.

Ia dibiarkan di dalam bekas yang bertutup dan boleh mengambil masa sehingga berminggu-minggu bergantung kepada sumber bahan mentah yang digunakan.

Ibu bapa boleh menggunakan proses pembuatan kompos ini sebagai aktiviti pembelajaran anak-anak. Anak-anak boleh membuat pemerhatian dan merekodkannya setiap lima hari.

Keupayaan membuat pemerhatian dan kesimpulan merupakan proses yang penting di dalam sesuatu kajian, dan mengaplikasikan proses ini dalam kehidupan seharian.

Apabila kompos telah siap, ia boleh diberikan kepada tanaman sebagai sumber nutrien.

Kawalan perosak juga boleh dibuat secara organik. Racun organik boleh dibuat menggunakan campuran bawang putih, cili, minyak dan beberapa bahan lain.

Dengan menggunakan kompos sebagai sumber nutrien dan racun organik untuk kawalan perosak, sayuran yang diusahakan di kebun bandar bebas input kimia.

Selain membantu ekonomi keluarga, aktiviti pertanian ini dapat mengelakkan pembaziran masa.

Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif membantu rakyat mengharungi PKP ini, dan rakyat juga punyai peranan masing-masing membantu diri sendiri dan negara untuk keluar daripada situasi mencabar sekarang. Manfaatkan masa sebaik mungkin.

 
 

Tarikh Input: 20/04/2020 | Kemaskini: 20/04/2020 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDdNAq~