hmetro.com.my
BELANJAWAN 2025 untuk sektor pertanian yang dibentangkan kerajaan 18 Oktober lalu bertujuan meningkatkan pengeluaran, memperkasakan komuniti dan memacu ekonomi rakyat.
Pensyarah Jabatan Perniagaantani Dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Dr Norsida Man berkata, peruntukan belanjawan tahunan itu antara lain bertujuan memperbaiki kemudahan dan infrastruktur, memperkasakan industri kelapa sawit, menggiatkan perusahaan kecil sederhana (PKS) berasaskan pertanian serta meningkatkan pendigitalan sektor pertanian.
Selain itu, ia juga untuk membantu mengurangkan beban pesawah dan pekebun kecil getah, meluaskan sektor agromakanan untuk jaminan bekalan makanan serta menambahkan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian.
"Peruntukan belanjawan yang diperoleh sektor pertanian kali ini agak banyak dan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
"Ia diharap dapat membantu menaikkan semangat rakyat untuk mengadaptasi pelbagai cabaran yang mendatang selain menjadi punca kepada perubahan positif daripada segi produktiviti dan taraf hidup mereka," katanya.
Mengulas lanjut Dr Norsida berkata, belia adalah tonggak dan pewaris pertanian masa hadapan, namun trend semasa menunjukkan kebergantungan kepada petani yang semakin berusia.
Senario itu sebenarnya boleh menjejaskan pengeluaran pertanian dalam masa antara 10 hingga 20 tahun akan datang.
Mengambil contoh pertanian padi, bagi pesawah berusia dan sudah tidak mampu melakukan kerja, mereka akan menyerahkan sepenuhnya pengurusan ladang kepada buruh upahan atau pihak kontraktor untuk melakukan kerja tanpa pemantauan yang sepatutnya.
Ia akan menyebabkan produktiviti ladang menurun kerana kurang memberi perhatian kepada pemilihan benih yang sesuai, pembajaan yang tepat dan sebagainya.
Kata Dr Norsida, negara memerlukan petani, pekebun dan penternak yang boleh menguruskan ladang mereka dengan sepenuhnya selain mempunyai ilmu, kemahiran tinggi serta bijak menggunakan teknologi.
Katanya, Malaysia akan menghadapi masalah jika ladang diuruskan oleh mereka yang tidak produktif.
"Kebanyakan golongan berusia tidak mempunyai desakan gaya hidup yang tinggi dan selesa dengan apa yang ada menyebabkan mereka rasa tidak perlu meningkatkan produktiviti pertanian .
"Namun, jika dibandingkan dengan tenaga kerja muda, mereka sememangnya lebih mudah memahami serta menerima kemajuan teknologi dan pengurusan.
"Tetapi sayangnya, persepsi belia terhadap pertanian agak negatif. Malah mereka lebih suka kepada kerja yang mempunyai persekitaran selesa, menyebabkan penyertaan golongan itu dalam bidang pertanian berkurangan," katanya.
Justeru, kata beliau, untuk memastikan kesinambungan tenaga kerja dalam sektor itu, beberapa langkah perlu diambil kerajaan bagi menarik pembabitan belia melalui peruntukan Belanjawan 2025.
Antaranya, memastikan harga produk pertanian tinggi dan stabil supaya terdapat keuntungan untuk membantu peningkatan pendapatan.
"Kenaikan kos input ladang contohnya perlu dikawal bagi mengelakkan kerugian dan pada masa sama, memperbanyakkan penggunaan teknologi untuk memudahkan operasi ladang.
"Fasiliti, kemudahan ladang di kawasan kampung juga mesti berfungsi dengan baik dan dasar yang menyokong pembabitan belia dalam pertanian juga perlu ditetapkan.
"Selain itu, latihan berterusan kepada belia juga perlu diberi bagi membolehkan anak muda mempelajari serta memahami dengan mendalam mengenai tanaman mahupun ternakan," katanya.
Dalam pada itu, cabaran seperti perubahan cuaca dan iklim amat perlu ditangani dengan pelbagai strategi adaptasi kerana iklim adalah pengaruh utama dalam sektor pertanian.
Masalah lain seperti kekurangan ruang tanah untuk aktiviti pertanian, masalah kesuburan dan kesesuaian tanah, kesukaran dalam kawalan penyakit dan perosak tanaman, isu kekurangan ilmu pengetahuan dan tangkapan negatif terhadap pertanian, kekurangan pembabitan belia dalam sektor pertanian, kekurangan pengiktirafan wanita dalam pertanian, kekurangan tenaga kerja dan sebagainya juga perlu ditangani.
Kata Dr Norsida, penggunaan teknologi juga akan memberi manfaat dalam sektor pertanian terutama untuk aktiviti penanaman yang menggunakan ramai buruh.
"Bagaimanapun, penerimaan dan penerapan aplikasi teknologi dalam kalangan petani terutama petani golongan berusia menjadi satu cabaran besar.
"Penggunaan teknologi dalam pertanian juga mencetus isu lain iaitu kos teknologi yang tinggi sukar ditanggung oleh petani," katanya.
Disiarkan pada: Oktober 27, 2024 @ 6:30am
oleh
Tarikh Input: 28/10/2024 | Kemaskini: 28/10/2024 | wazien
Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA