19 Pelajar UPM Sertai Program Mobiliti Thai Agriconnect di Thailand
SERDANG, 26 Ogos – Seramai 19 pelajar Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama seorang pegawai pengiring telah menyertai Program Mobiliti Thai Agriconnect: Bridging Knowledge, Culture & Innovation di Thaksin University, Thailand dari 7 hingga 20 Ogos 2025 yang lalu.
Program anjuran Kelab Bacelor Sains Pertanian (BSP) dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) dengan sokongan pelbagai pihak ini membuka ruang pelajar meneroka pertanian moden dan tradisional melalui lawatan ke Thale Noi Wetland, ladang ketum, pisang dan sagu, teknologi IoT rumah hijau, serta perkongsian penyelidikan di Trang Horticultural Research Center.
Menurut salah seorang peserta, Hanif Othman berkata, pelajar turut berpeluang menimba pengalaman praktikal menerusi Eco Print Workshop dan kulinari tradisional seperti penyediaan Khao Yam di atas daun teratai serta salad daun Melinjo, yang menonjolkan gabungan kreativiti, kelestarian dan budaya tempatan.
"selain pengisian akademik, pelajar UPM dan Thaksin University juga bersatu dalam aktiviti sukan serta permainan tradisional, sekali gus memperkukuh kerjasama dan kepimpinan dalam suasana santai," katanya.
Sementara itu, sebagai kemuncak program ialah dengan penganjuran International Symposium on Sustainable Agriculture yang menghimpunkan pelajar antarabangsa, sebelum diakhiri dengan Majlis Makan Malam Perpisahan yang meriah dengan persembahan silang budaya – Dikir Barat dari UPM diiringi tarian tradisional Thailand.
Program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik Malaysia-Thailand, malah membentuk graduan UPM yang berdaya saing, berfikiran global dan peka terhadap kelestarian budaya.
Tarikh Input: 27/08/2025 |
Kemaskini: 27/08/2025 | wazien
PERKONGSIAN MEDIA