AGRINOVA TUMPAS DI PENTAS AKHIR BD2025
SERDANG, 3 Dis – Pasukan AGRINOVA dari Fakulti Pertanian terpaksa akur apabila tumpas pada pentas akhir Digital Culture Competition Inter-PTJ bersempena Sambutan Bulan Digital UPM 2025 (BD2025) anjuran
Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi - IDEC, sekali gus menamatkan cabaran tanpa kedudukan tiga terbaik.
AGRINOVA yang mempertaruhkan projek dashboard P.A.D.I (Pemetaan Data Latihan Industri), tampil dengan misi memperkenalkan platform rujukan komprehensif yang menghimpunkan maklumat latihan industri secara lebih sistematik, mudah dicapai dan berasaskan data. Projek ini dibangunkan oleh staf Pejabat Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pertanian, diketuai oleh En. Hanis Johari, bersama ahli kumpulan En. Nik Zaini Peei dan En. Mohamad Indra Shahril Zainal.
Pertandingan BD2025 dianjurkan bagi menggalakkan pembangunan dashboard berasaskan data yang lebih sistematik, meningkatkan kualiti tadbir urus data di peringkat PTJ, menyediakan input lebih tepat untuk keputusan strategik serta memupuk budaya pengurusan harian yang berorientasikan data.
Walaupun persembahan AGRINOVA mempamerkan usaha dan komitmen yang tinggi, sesi pitching yang dinilai oleh empat panel profesional belum cukup untuk menarik perhatian juri bagi merebut tempat tiga teratas. Sebanyak 29 pasukan bertanding pada edisi kali ini dan AGRINOVA berjaya menempatkan diri dalam lapan kumpulan terbaik yang mara ke pentas akhir semalam. Pengumuman pemenang tiga terbaik akan dimaklumkan dalam Grand Finale BD2025 pada 9 Disember ini nanti.
Meskipun tidak pulang sebagai pemenang, penyertaan AGRINOVA tetap dianggap sebagai satu pencapaian bermakna dalam usaha memacu transformasi digital di Fakulti Pertanian serta memperkukuhkan penggunaan data sebagai tunjang pembangunan akademik dan operasi fakulti.
Syabas dan tahniah diucapkan atas usaha serta komitmen yang diberikan.
Tarikh Input: 10/12/2025 |
Kemaskini: 10/12/2025 | wazien
PERKONGSIAN MEDIA