SERDANG, 17 Mei 2026 – Prihatin terhadap kebajikan mahasiswa yang memerlukan, Sekretariat Kesukarelawanan dan Kebajikan, Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) sesi 2025/2026 telah menganjurkan Heart2Soul Project di Fakulti Pertanian, UPM.
Program berteraskan nilai kemanusiaan itu bertujuan membantu meringankan beban mahasiswa yang menghadapi kekangan kewangan selain memupuk semangat prihatin dan kebersamaan dalam kalangan warga fakulti.
Pengarah program Nurul Izzah berkata, program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dimasa hadapan dan mengajak lebih ramai individu mahupun syarikat yang turut meyumbang.
"di saat tangan menghulur, ada hati lain yang sedang disembuhkan," katanya.
Majlis penyampaian bantuan telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pertanian, Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, mewakili Dekan Fakulti Pertanian. Turut hadir ialah Penasihat PERMATANI, Dr. Fazlin Ali, serta Puan Azealea Dzulkeflee yang merupakan antara penyumbang utama program tersebut.
Menerusi inisiatif ini, seramai 30 orang mahasiswa Fakulti Pertanian yang telah dikenal pasti menerima bantuan berbentuk keperluan asas bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.
Menurut pihak penganjur, sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan material, malah diharapkan mampu menjadi suntikan motivasi kepada penerima untuk terus bersemangat dan cemerlang dalam pengajian.
Pihak PERMATANI turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program berimpak tinggi ini. Mereka berharap agar Heart2Soul Project dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan demi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian dan terus terbela.

Tarikh Input: 29/05/2026 |
Kemaskini: 29/05/2026 | wazien
PERKONGSIAN MEDIA