Kelab Akuakultur Sertai Program Menanam Anak Benih Pokok Bakau Sempena MEITA Showcase
Teluk Panglima Garang, 29 Jun 2024 – Kelab Akuakultur, Fakulti Pertanian telah menyertai aktiviti menanam anak benih pokok bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau Kg. Sijangkang bersempena “Sustainable Aquatic Resource Management in Mangrove Ecosystems Via Internet of Things Application (MEITA) Showcase” yang dianjurkan oleh Fakulti Pertanian, UPM bersempena dengan sambutan “International Day of the Tropics” yang disambut pada hari ini.
Program yang diberi nama ‘Treasure The Mangrove’ ini merupakan inisiatif Kelab Akuakultur bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kawasan paya bakau kepada alam sekitar serta memberi pendedahan kepada pelajar secara amali mengenai spesies pokok paya bakau kepada peserta.
Engku Muhammad Adil Bin Engku Omar Amiruddin dari Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian berkata, sebanyak 130 anak benih pokok bakau telah ditanam pada hari ini.
“Program seumpama ini penting demi memelihara dan memulihara ekosistem dan kami bertuah aktiviti ini telah mendapatkan sokongan dan penajaan dari syarikat Agromate Holdings Sdn. Bhd.,” katanya.
Aktiviti penanaman anak benih pokok bakau ini telah dimulakan oleh tetamu kehormat iaitu YBhg. Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Amirul Azizan bin Dato’ Sri Abd Rahim, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuala Langat, YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, pengurusan Fakulti serta kakitangan syarikat Agromate Holdings Sdn. Bhd.
MEITA Showcase adalah usaha kerjasama yang melibatkan pelbagai fakulti dan institut di bawah UPM, termasuk Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Institut Biosains (IBS), dan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP). Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Persatuan Taman Rekreasi Paya Bakau Kg. Sijangkang, Loranet Technologies PLT, Agromate Holdings Sdn. Bhd., dan Edgenta Infrastructure Services Sdn. Bhd. juga turut serta dalam usaha murni ini.
Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar tetapi juga mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor korporat dalam usaha melestarikan alam sekitar untuk generasi akan datang.
Semoga usaha ini dapat dijadikan sebagai langkah penting dalam memelihara keseimbangan ekosistem, melindungi kawasan pesisir, dan menyokong kehidupan masyarakat setempat.