Fakulti Pertanian Raikan 35 Graduan Cemerlang dalam Majlis Anugerah Graduan Cemerlang 2024
SERDANG, 28 Nov 2024 – Fakulti Pertanian, UPM telah meraikan 35 graduan cemerlang dalam Majlis Anugerah Graduan Cemerlang (MAGC) 2024 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang. Acara tahunan ini menjadi platform menghargai kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar fakulti sepanjang pengajian mereka di UPM.
Majlis yang diselaraskan oleh Pejabat Timbalan Dekan Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ini telah dihadiri oleh ibu bapa, para graduan, pihak penaja serta wakil industri. Sebanyak 25 pihak penaja, termasuk syarikat, individu, dan persatuan, menyampaikan anugerah masing-masing sebagai tanda penghargaan kepada kecemerlangan para pelajar.
Dalam ucapan pembukaannya, YBhg. Prof. Dr. Loh Teck Chwen, Dekan Fakulti Pertanian, menegaskan bahawa keberhasilan graduan bukanlah penamat tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar.
"Keberhasilan pada hari ini bukanlah titik akhir dalam perjalanan menimba ilmu. Para graduan perlu sentiasa memperkaya diri dengan pengetahuan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi. Jadikan pencapaian ini sebagai landasan untuk menyumbang dengan lebih bermakna," katanya.
Beliau turut berharap agar hubungan akrab antara graduan dan fakulti akan kekal terjalin melalui budaya alumni yang menyumbang kepada pembangunan fakulti.
Sementara itu, Saudara Syed Muhamad Nadzmi Syd Zahari, graduan Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Graduan Terbaik Fakulti Pertanian. Beliau menerima wang tunai RM3,000, plak pingat emas, dan sijil penghargaan yang ditaja oleh Fertilizer Industry Association Malaysia (FIAM).
Dalam ucapannya, Syed Muhamad Nadzmi menyeru rakan graduan untuk terus menyumbang kepada sektor pertanian negara. Kita keluar dari dewan ini bukan saja bergelar alumni, tetapi kita memegang amanah besar untuk berkongsi ilmu yang telah dipelajari demi meningkatkan mutu pertanian negara,
"kami belajar bahawa sebutir benih bukan sekadar bakal menjadi tumbuhan, tetapi simbol masa depan yang kita bina untuk generasi akan datang," katanya.
Sebanyak 30 hadiah telah disampaikan kepada graduan bacelor dan 5 lagi bagi graduan sarjana dan doktor falsafah. MAGC kali ini telah menerima penaja baharu, iaitu Keluarga Dato’ Kiyai Shamsudin, Hj. Mat Hj. Jantan Sdn. Bhd., dan Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia.
Pihak jawatankuasa penganjur merakamkan penghargaan kepada semua penaja, industri, dan persatuan yang memberikan kerjasama tidak berbelah bagi dalam menjayakan majlis ini. Sokongan padu ini menjadi bukti komitmen bersama dalam melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing.
Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada barisan jawatankuasa pelaksana dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti (
Permatani UPM)