Pelajar UPM Angkat Pertanian Ke Medan Berpantun | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Pelajar UPM angkat Pertanian ke medan berpantun

Pelajar UPM angkat Pertanian ke medan berpantun

Pelajar UPM angkat Pertanian ke medan berpantun

SERDANG, 8 Jun 2024 - Dalam usaha mengangkat seni berpantun dan mempromosikan sektor pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Pertandingan Pantun Pertanian Piala Presiden (TUNAS) 2024. Acara yang diadakan di Dewan Pertanian ini memperlihatkan bakat dan kreativiti pelajar dalam seni berpantun sambil menghayati kepentingan pertanian, yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
 
 
Pengarah program, Siti Nur Raihan binti Mohammad Nasir berkata, pertandingan ini bukan sahaja mempersembahkan keindahan lisan tradisional tetapi juga mempromosikan amalan pemindahan ilmu pertanian.
"Siapa sangka, menerusi seni berpantun, pemindahan ilmu pertanian itu dapat disuburkan menerusi buah fikiran dan kecerdasan setiap peserta," katanya.
 
 
Pentas akhir pertandingan menyaksikan persaingan sengit antara Kumpulan Gahara dan Kumpulan Meraga Sukma. Acara ini dihadiri oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, Encik Hanis Johari, Penolong Pendaftar Kanan, pejabat Timb. Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pertanian, Encik Mohd Shah Rizan Mohd Zain, Fasilitator Khas KKB, UPM serta Muhammad Akmal Mirza bin Mohd Farid, Mantan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) sesi 2023/2024.
 
 
Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata, "dalam konteks pertanian, pantun boleh dijadikan medium yang efektif untuk menyebarkan informasi dan kepentingan sektor ini kepada masyarakat. Melalui pertandingan ini, kita dapat melihat bagaimana seni pantun dan elemen pertanian dapat digabungkan untuk mencipta karya yang bermutu dan bermakna."
 
 
 
Pertandingan yang dianjurkan oleh kursus kokurikulum berkredit, Persembahan Lisan Tradisional (QKB2109) kumpulan 1, semester kedua sesi 2023/2024, dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) dan Jawatankuasa Sudut Bacaan Read@Uni Fakulti Pertanian ini, telah menarik minat pelajar dan menyemai rasa cinta terhadap pertanian.
 
 
Menurut saudara Akmal, penganjuran ini begitu bermakna dan signifikan dengan perjuangan kami selaku barisan perwakilan Fakulti Pertanian dalam mengangkat isu pertanian ke pentas kebudayaan seperti ini.
“Program ini telah menarik minat kami untuk merealisasikan dan besar harapan legasi ini akan tetap malar segar dianjurkan sebagai acara tahunan." Katanya.
 
 
Keputusan akhir menyaksikan kumpulan Gahara dinobatkan sebagai Johan TUNAS 2024, membawa pulang Piala TUNAS, wang tunai RM200.00, dan sijil penghargaan. Kumpulan Meraga Sukma meraih Naib Juara dengan wang tunai RM150.00 dan sijil. Sementara itu, saudara Mohd Muzammil Ab Rahim dari Pahang telah dianugerahkan sebagai Pemantun Terbaik, membawa pulang wang tunai RM100.00, plak, dan sijil penghargaan.
 
 
Program yang pertama kali diadakan ini mendapat sokongan dan penajaan dari Syarikat Amco Niaga Sdn. Bhd., Linemax Media Sdn. Bhd., Kitosan Malaysia, dan individu perseorangan. Pertandingan ini diharapkan dapat menyemai rasa cinta dan penghargaan terhadap pertanian dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, sambil memelihara seni warisan berpantun.

Tarikh Input: 10/06/2024 | Kemaskini: 10/06/2024 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:21:08:29~noCache