Program Jiwa Putra Pertanian, Kampung Angkat MADANI Eratkan Jalinan Komuniti
Serdang, 28 Julai – Program Jiwa Putra Pertanian, Kampung Angkat MADANI anjuran Fakulti Pertanian UPM dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UPM) telah melabuhkan tirainya semalam. Program telah berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai 2025 bertempat di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Selangor.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dijalankan seperti kerja-kerja mengindahkan landskap Menara Jam Seri Tiram Jaya, mengecat dan bergotong-royong membersihkan Surau Blok C dan Surau Kiyai Haji Samsuri, serta aktiviti plogging di beberapa kawasan sekitar kampung.
Seramai hampir 60 orang pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Fakulti Pertanian sesi 2024/2025 dan 2025/2026 turut terlibat secara aktif dalam program ini. Selain menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, program ini turut memperkasa komuniti setempat melalui sesi perkongsian ilmu oleh beberapa pegawai akademik Fakulti Pertanian UPM.
Majlis penutupan telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya dan disempurnakan oleh YBhg. Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Loh Tech Chwen. Sebagai simbolik kepada program Jiwa Putra Pertanian, Kampung Angkat MADANI, sepasang arnab dan anak pokok durian telah diserahkan kepada wakil komuniti kampung.
Fakulti Pertanian merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh penduduk Kampung Sawah Sempadan, pihak pengurusan, pegawai akademik dan para pelajar atas komitmen dan sokongan padu dalam menjayakan program ini. Semoga usaha seperti ini terus menyemarakkan semangat Jiwa Putra dan memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat.

Tarikh Input: 14/08/2025 |
Kemaskini: 14/08/2025 | wazien
PERKONGSIAN MEDIA