Program Mobiliti Antarabangsa Lawatan Sher-e-Bangla Agricultural University, Dhaka, Bangladesh | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Program Mobiliti Antarabangsa lawatan Sher-e-Bangla Agricultural University, Dhaka, Bangladesh

Program Mobiliti Antarabangsa lawatan Sher-e-Bangla Agricultural University, Dhaka, Bangladesh

UPM SERDANG, 1 APRIL – Fakulti Pertanian (FP), Universiti Putra Malaysia telah menerima Delegasi seramai 16 orang pelajar dan 1 orang pensyarah dari Sher-e-Bangla Agricultural University, Dhaka, Bangladesh. Program mobiliti antarabangsa ini telah berlangsung selama 14 hari bermula pada 19 Mac – 1 April 2024.
 
Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah turut berkesempatan bertemu dengan 16 orang pelajar daripada Sher-E-Bangla Agriculture University di Bilik Lembaga, UPM.
Program mobiliti kendalian Kelab Sains Haiwan FP yang diketuai Saudari Siti Khatijah binti Ibrahim itu diadakan bertujuan untuk mendedahkan peserta berkenaan membangun dan mengurus ladang ternakan dan menjaga haiwan lain dengan menitikberatkan amalan penternakan terbaik dan kelestarian alam sekitar, konsep atribut keusahawanan dan kompeten dalam menjalankan aktiviti mengurus ternakan dan agro industri di samping memperkenalkan adat dan budaya masyarakat Malaysia.
 
Menurut Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), peserta mobiliti juga turut didedahkan dengan kursus akademik yang melibatkan pembelajaran yang inovatif dan pratikal, serta mengalami cara kehidupan dan pendidikan di Malaysia sekaligus dapat manfaatkan jalinan persahabatan dan membina jambatan persefahaman di kalangan delegasi dan pelajar UPM.
“Peserta juga berpeluang menyertai program campus tour, lawatan ke Bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya. Antara tempat yang dilawati ialah Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Farm Fresh, Ladang Fakulti Pertanian, Pasar Seni, KLCC Petronas, Anjung Floria, Masjid Putra, Masjid Besi dan Kilang Coklat Beryls.,” jelas beliau.
 
Pelaksanaan program itu juga diadakan sebagai satu inisiatif dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua negara melalui silang budaya dan cara hidup di Malaysia. Pihak kami mendapat maklum balas positif daripada peserta sekali gus membuktikan objektif dan matlamat program ini tercapai.
“Kami juga berharap para peserta dapat membawa pulang ilmu yang dipelajari di UPM dan berkongsi pula dengan komuniti pelajar di Bangladesh,” katanya.
 

Tarikh Input: 17/04/2024 | Kemaskini: 17/04/2024 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXFcNAK~