Bertukar Kepada Pemasaran Online Produk Tani | FAKULTI PERTANIAN
» ARTIKEL » Bertukar kepada pemasaran online produk tani

Bertukar kepada pemasaran online produk tani

Oleh Prof Madya Dr Nolila Mohd Nawi
Jabatan Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber UPM.
– 14 April, 2020.

PENULARAN wabak Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sedikit gangguan keatas pengedaran rantaian bekalan makanan negara. Baru-baru ini dilaporkan sayur-sayuran di Cameron Highlands rosak kerana tidak sempat dipasarkan.

Seramai 2,300 pekebun sayuran di Cameron Highlands dilapor mengeluarkan 800 tan metrik atau 800,000 kilogram sayur-sayuran sehari, namun berikutan PKP hanya 30% mampu dijual di pasaran. Ini menyebabkan anggaran kerugian yang dihadapi petani sebanyak RM1 juta sehari.

Amalan kebanyakan petani kita sekarang ini adalah dengan menjual hasil keluaran mereka kepada orang tengah atau di pasar segar seperti pasar tani.

Bagaimanapun, dengan operasi terhad saluran pemasaran ini ketika PKP, petani perlu memilih saluran pemasaran alternatif seperti pemasaran dalam talian bagi menjamin pengeluaran mereka dapat dipasarkan dan pendapatan mereka tidak terjejas.

Daripada segi ketersediaan, sehingga kini terdapat 28.7 juta pengguna Internet di kalangan rakyat Malaysia. Ini membolehkan transaksi dalam talian yang lebih mudah diguna pakai oleh petani bagi memasarkan produk mereka.

Selain itu, usaha kerajaan melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin, yang menyediakan perkhidmatan Internet percuma 1GB kepada pengguna sepanjang tempoh PKP, membolehkan pemasaran dalam talian oleh petani kepada pengguna daripada pelbagai golongan lebih mudah untuk dilaksanakan dan mempunyai peluang lebih tinggi.

Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh petani bagi memastikan hasil jualan mereka tidak terjejas dalam tempoh PKP ini dan menjadi amalan terbaik pada masa akan datang.

Aplikasi Agrobazaar Online oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu dimanfaatkan oleh petani dan semua peserta rantaian bekalan makanan.

Tempoh PKP ini dijangka dapat merealisasikan segala usaha berterusan pihak kerajaan selama ini berkaitan penggunaan pemasaran atas talian bagi bekalan makanan atau barangan segar yang agak kurang digunapakai secara meluas sebelum ini oleh usahawan tani.

 

Pemasaran dalam talian bekalan makanan ini mungkin akan jadi kebiasaan baharu yang diterima pakai oleh petani dan pemasar walaupun selepas PKP.

Usaha yang ditunjukkan oleh Lazada sebagai salah sebuah portal jual beli dalam talian yang terkemuka di negara ini yang bekerjasama dengan petani dari Cameron Highlands untuk memasarkan sayuran segar secara terus kepada pembeli dilihat sebagai pemangkin kepada pemasaran atas talian dengan lebih meluas selepas ini.

Bagaimanapun, sifat produk barangan segar yang mudah rosak menyebabkan agak sukar bagi usahawan tani menjual produk mereka ke pasaran lebih luas seperti menggunakan perkhidmatan pos.

Bagi barangan mudah rosak, ia selalu dikaitkan dengan keperluan infrastruktur penyimpanan dan penghantaran (penyejukan) yang baik untuk memastikan barangan sampai kepada pengguna dalam keadaan segar. Perkara ini memerlukan pelaburan yang banyak.

Selain itu, hasil pengeluaran pertanian selalu dikaitkan dengan kualiti atau rupa yang tidak seragam menyebabkan pengguna selalunya teragak untuk melakukan pembelian atas talian. Ini selari dengan sikap pengguna yang lebih suka memilih atau melihat sendiri barangan segar yang ingin dibeli.

Bagi menyelesaikan isu berkaitan keperluan logistik dan penghantaran, petani atau pemasar boleh bekerjasama dengan syarikat penyedia khidmat penghantaran yang efisien serta mempunyai kenderaan yang bersesuaian untuk memastikan kepuasan pengguna merupakan cadangan yang baik dari perspektif ekonomi dan operasi.

Model pemasaran atas talian yang diperkenalkan bagi hidangan masakan menggunakan syarikat seperti Grabfood, Foodpanda dan sebagainya ini telah menunjukkan kejayaan yang baik di negara ini.

Persatuan Usahawan Internet Malaysia dilaporkan turut memperkenalkan model bisnes baharu bagi jualan bahan mentah termasuk sayur-sayuran yang dibeli secara pukal dari petani atau pembekal. Mereka kemudian memasarkan barangan tersebut melalui kaedah pemasaran dalam talian dengan sebuah syarikat di bawah persatuan tersebut bertindak menyediakan keperluan logistik.

Ini antara usaha yang turut dilihat dapat memastikan akses, penggunaan dan kestabilan makanan kepada pengguna akan berterusan walaupun dalam keadaan PKP seperti sekarang.

Usahawan tani juga perlu melakukan aktiviti nilai tambah untuk hasil keluaran mereka seperti penggredan yang dapat memastikan kualiti yang seragam dan pembungkusan yang dapat menarik minat pengguna untuk membeli. Aktiviti seperti ini dapat membantu usahawan tani mengawal serta memastikan harga jualan yang lebih tinggi bagi produk mereka.

Aktiviti jual beli dalam talian oleh usahawan tani juga boleh dijalankan menggunakan medium media sosial. Pemasaran dalam talian menggunakan kemudahan media sosial tidak melibatkan kos yang tinggi serta kepakaran pengendalian yang membolehkan usahawan tani berkomunikasi dan menjalankan transaksi jual beli dengan pelanggan mereka secara terus dengan lebih mudah, cepat dan berkesan dalam tempoh PKP ini.

Situasi negara sekarang yang membataskan pergerakan dan perjalanan rantaian bekalan makanan bagi barangan segar memerlukan petani dan pemasar mengambil iktibar yang sepatutnya dalam memastikan hasil tuaian dapat dijual.

Mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada saluran pemasaran yang memudahkan atau menyenangkan mereka pada sesuatu masa, perlu ada beberapa saluran pilihan yang berlainan seperti pemasaran dalam talian ini yang boleh dipraktikkan. 

 
 
 

Tarikh Input: 16/04/2020 | Kemaskini: 24/04/2020 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXEaWAV~