Kurikulum Pertanian Digubal Lahirkan Usahawan Tani | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » Kurikulum pertanian digubal lahirkan usahawan tani

Kurikulum pertanian digubal lahirkan usahawan tani

 

Prof. Dr Abdul Shukor Juraimi

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Kurikulum program pertanian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta akan digubal bagi memberi lebih penekanan kepada elemen pertanian pintar dan keusahawanan.

Penggubalan tersebut akan melibatkan pakar jemaah dekan-dekan IPT berkaitan pertanian di negara ini yang diterajui Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Usaha menambah baik kurikulum sedia ada bertujujan menghasilkan graduan yang cekap dalam pertanian pintar dan bakal menjadikan mereka sebagai agen pengembangan bagi membantu petani, di samping menggalakkan mereka menceburi pertanian moden.

Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi berkata, Malaysia memerlukan petani yang kompeten bagi mentransformasi sektor pertanian.

Beliau berkata, langkah jangka pendek, sederhana dan jangka panjang boleh dilakukan bagi tujuan transformasi tersebut iaitu ilmu dan kemahiran mengurus petani sedia ada ditambah baik supaya mereka terlibat dalam pertanian secara moden menerusi kursus-kurus yang diberikan.

"Golongan muda boleh dibimbing dan kursus inkubasi usahawan tani secara moden yang menggunakan keadah pertanian pintar dan penggunaan Internet dapat menarik minat mereka

"Dengan itu mereka dapat menguruskan pertanian dengan cekap dan sistematik," ujarnya kepada Utusan.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bahawa Mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu memutuskan supaya kementeriannya bekerjasama dengan UPM bagi melatih petani sebagai pengurus ladang menggunakan teknologi dan ilmu perladangan terkini.

Justeru untuk tujuan itu, Salahuddin memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pakar pertanian UPM bagi merangka model yang sesuai bagi menyokong strategi yang digariskan seperti mana araham Kabinet.

Mengulas lebih lanjut Abdul Shukor berkata, UPM juga melahirkan ramai petani berjaya walaupun saiz ladang mereka kecil.

"Mereka menggunakan teknologi moden, automasi, pertanian pintar dan menggunakan Internet untuk memasarkan hasil,’’ ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, pengurusan secara koperasi atau estet juga boleh diamalkan bagi kawasan ladang yang kecil terutama bagi tanaman seperti padi dan jagung kerana boleh menggunakan jentera moden yang menjimatkan kos dengan pengurusan yang lebih efektif.

 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 30/09/2019 | Kemaskini: 30/09/2019 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
C1574122389