Risiko Terhadap Keselamatan Makanan Negara | FACULTY OF AGRICULTURE
» ARTICLE » Risiko Terhadap Keselamatan Makanan Negara

Risiko Terhadap Keselamatan Makanan Negara

Risiko Terhadap Keselamatan Makanan Negara

Pajakan sawah tanpa dokumen sah sukarkan usaha capai sasaran 75 peratus Tahap Sara Diri beras

Kuala Lumpur: Pajakan sawah tanpa dokumen hitam putih boleh mengakibatkan kerajaan kehilangan maklumat sebenar mengenai penanaman dan pengeluaran padi, sekali gus menyukarkan usaha mencapai sasaran Tahap Sara Diri beras sebanyak 75 peratus.

Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Norsida Man, berpandangan pajakan tanah sawah tanpa dokumentasi yang sah kepada warga asing, juga berisiko menjejaskan kedaulatan makanan negara apabila kerajaan kehilangan kawalan terhadap sebahagian rantaian pengeluaran padi.

Katanya, isu terbabit tidak boleh dilihat semata-mata sebagai urusan ekonomi di antara pemilik tanah dan penyewa, sebaliknya kegiatan itu dibimbangi berisiko mencetuskan kesan besar terhadap keselamatan makanan, keberkesanan dasar pertanian, kelangsungan industri padi negara, termasuk membuka ruang ketirisan subsidi.

Wujud Tiga Masalah Utama

“Pajakan tidak berdaftar mewujudkan tiga masalah utama iaitu data pengeluaran yang tidak tepat, ketirisan subsidi kepada pengusaha asing dan kecenderungan sawah ditukar kepada tanaman lain mengikut harga pasaran.

“Apabila kerajaan tidak mempunyai maklumat tepat mengenai siapa yang mengusahakan sawah dan berapa hasil dikeluarkan, perancangan bekalan makanan negara menjadi kurang berkesan.

“Ketirisan subsidi pula bukan isu teknikal kecil kerana turut mengganggu keberkesanan Dasar Agromakanan Negara,” katanya kepada BH semalam.

Beliau berkata, demikian mengulas pendedahan BH mengenai trend kebanyakan pesawah veteran dan tidak aktif memajak sawah mereka kepada warga asing tanpa sebarang perjanjian bertulis yang sah atau kebenaran pihak berkuasa.

Ekoran itu, Norsida tidak menolak keadaan kebergantungan kepada warga asing dalam sektor padi negara mewujudkan risiko jangka panjang terhadap kestabilan bekalan makanan negara.

“Risiko kedua ialah kegagalan pemindahan pengetahuan kepada generasi tempatan. Kemahiran agronomi dan pengurusan sawah tidak diwarisi menyebabkan negara mungkin berdepan defisit modal insan dalam sektor padi dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang” katanya.

 

 

Date of Input: 03/06/2026 | Updated: 03/06/2026 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
X, (07:20:25am-07:25:25am, 04 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]