Menurutnya, ia tanda perubahan paradigma terhadap pertanian, yang tidak lagi dilihat sebagai kerja berat dan kotor tetapi sebagai bidang strategik berasaskan ilmu dan teknologi.
Jelasnya sektor pertanian kini sedang beralih daripada sistem berasaskan tenaga kerja kepada sistem berasaskan data dan inovasi.
Malah jelasnya penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT), sensor, sistem pengairan automasi dan kecerdasan buatan (AI) semakin diterima pakai untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Jasmin berkata, UPM turut memainkan peranan penting sebagai pelopor pertanian teknologi tinggi dalam memperkukuh tenaga kerja pertanian masa depan.
"Di UPM misalnya, peningkatan jumlah pelajar yang memilih program berkaitan pertanian dan agroteknologi bagi sesi akademik 2025/2026 menunjukkan kebangkitan minat terhadap bidang ini.
"UPM turut memperkenalkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar (3U1i) yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga mahir dalam pengurusan dron, automasi sistem tanaman, sensor serta analisis data berasaskan AI.
"Pendekatan ini menegaskan bahawa pertanian kini adalah disiplin profesional yang menggabungkan sains, kejuruteraan, teknologi dan inovasi sosial," katanya.
Katanya, untuk menarik lebih ramai anak muda, pembangunan sumber manusia pertanian perlu dirangka dengan pendekatan baharu.
Generasi baharu tegasnya tidak boleh hanya diseru untuk turun ke sawah, tetapi harus dilibatkan dalam keseluruhan rantaian nilai pertanian iaitu daripada penyelidikan dan inovasi, keusahawanan agro, hingga pengurusan pasaran digital.
Tambahnya, dalam konteks ini, kajian "UTAUT Model Insights on the Adoption of Smart Farming Technologies (SFTs) in Malaysia" oleh Yogavarthiny Ravindran, Nur Bahiah Mohamed Haris, Jasmin Arif Shah dan Wan Fazilah Fazlil Ilahi memperincikan faktor psikologi dan sosial yang mendorong belia untuk menerima teknologi pertanian pintar.
"Hasilnya menunjukkan bahawa persepsi terhadap kemudahan penggunaan, sokongan sosial, dan jangkaan prestasi menjadi pemangkin utama penerimaan teknologi dalam kalangan petani muda.
"Program inkubasi pertanian moden boleh dijadikan platform strategik, menggabungkan latihan teknikal, bimbingan keusahawanan dan akses kepada pasaran serta pembiayaan.
"Model seperti CEO@Farm boleh diterapkan, di mana graduan muda diberi peluang mengurus projek pertanian sebenar menggunakan teknologi pintar," katanya.
Jasmin berkata pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, tetapi juga membina daya kepimpinan dan keusahawanan.







