Tanam Sendiri, Jimat Belanja: Sayur Dapur Dari Rumah
Menanam sayur di rumah bukan sahaja mudah, malah boleh dimulakan dengan bahan dapur sedia ada. Menurut Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab dari Fakulti Pertanian UPM, lebihan seperti daun kesum, pandan, serai dan kunyit boleh ditanam semula untuk kegunaan berterusan. Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan, malah menggalakkan perkongsian hasil bersama jiran serta menyokong keperluan sendiri di rumah.
Bagi memastikan tanaman hidup subur, faktor utama ialah cahaya yang mencukupi dan medium tanaman yang sesuai. Walaupun tinggal di apartmen, tanaman masih boleh diusahakan di balkoni atau ruang dapur dengan bantuan cahaya matahari atau lampu LED. Tanah biasa boleh digunakan asalkan bersih dan tidak tercemar, manakala bekas tanaman pula boleh dihasilkan secara kitar semula menggunakan botol atau bahan terpakai.
Selain menjimatkan kos, amalan ini turut menyumbang kepada keselamatan makanan negara. Tanaman seperti sawi, kangkung atau salad mampu mengurangkan perbelanjaan dapur bulanan. Malah, sokongan daripada kerajaan melalui program pertanian bandar dan bantuan komuniti turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mula bercucuk tanam secara mudah dan berkesan di rumah.
Date of Input: 02/04/2026 | Updated: 02/04/2026 | wazien
MEDIA SHARING