UPM Anjur Projek Komuniti Konservasi Tenggiling Bersama Orang Asli | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » UPM anjur projek komuniti konservasi tenggiling bersama Orang Asli

UPM anjur projek komuniti konservasi tenggiling bersama Orang Asli

Oleh: Dr. Lau Wei Hong

 

TAPAH, 1 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan projek komuniti “Community-based Conservation of Pangolin for Termites Control in Batang Padang Semai Tribe” di Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak, hari ini.

 

Projek komuniti itu yang disertai 870 peserta, ditaja UPM di bawah Skim Geran “Knowledge Transfer Grant Scheme.” Ia adalah satu usaha sama antara UPM, PERHILITAN, Persatuan Kebajikan Orang Asli Batang Padang dan Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah.

 

Program itu dirasmikan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Asmuni Awi.

 

Bagi memeriahkan program, UPM menganjurkan Pertandingan Melukis dan Program Konservasi Tenggiling Bersama Komuniti Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah bertujuan meningkatkan kesedaran tentang konservasi tenggiling dan khazanah di Komuniti Batang Padang Semai serta memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah dalam usaha memulihara tenggiling, spesies yang terancam di negara ini.

 

Pertandingan melukis dan program kesedaran konservasi Tenggiling itu diharap dapat menanam cinta sayang hidupan liar di kalangan murid-murid komuniti Semai di Batang Padang.

 

Komuniti Semai dan murid-murid sekolah di Batang Padang mempersembahkan tarian dan nyanyian lagu Semai yang bertema “Tenggiling”. Aktiviti lain termasuk soal selidik, origami tenggiling, teka sisik tenggiling, sumpit dan mini pameran.

 

Tenggiling, spesies hidupan liar terancam yang menjadi mangsa pemburuan haram dan diseludup dengan harga yang tinggi. Ia merupakan kawalan biologi semula jadi bagi spesies anai-anai, perosak pokok utama di hutan.

 

Tenggiling boleh dijumpai di kawasan hutan persekitaran Batang Padang. Namun bilangannay di kawasan itu telah berkurangan disebabkan aktiviti pemburuan haram.

 

Diharap projek yang dijalankan itu dapat membuka peluang kepada semua pihak termasuk universiti, sekolah, komuniti setempat dan pihak berkuasa bekerjasama dalam usaha pemuliharaan tenggiling di Batang Padang demi kesejahteraan komuniti orang asli Semai dan kelestarian alam semula jadi.

 

UPM merakamkan penghargaan kepada Telekom Malaysia, Nestle, Farm Fresh, Weng Fong Nurseries Sdn. Bhd., Caring Pharmacy, Seto Hardware Sdn. Bhd., Al-Mashoor Syed Agriculture Products & Services, dan Medigene Sdn. Bhd. atas kerjasama dalam menjayakan program komuniti itu. -  UPM

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 14/11/2018 | Kemaskini: 14/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
C1573959187