UPM DAN QL CORPORATE SERVICES SDN. BHD. METERAI PERJANJIAN SUMBANG REBAN AYAM PENELUR | FAKULTI PERTANIAN
» BERITA » UPM DAN QL CORPORATE SERVICES SDN. BHD. METERAI PERJANJIAN SUMBANG REBAN AYAM PENELUR

UPM DAN QL CORPORATE SERVICES SDN. BHD. METERAI PERJANJIAN SUMBANG REBAN AYAM PENELUR

UPM DAN QL CORPORATE SERVICES SDN. BHD. METERAI PERJANJIAN SUMBANG REBAN AYAM PENELUR

 

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama QL Corporate Services Sdn. Bhd. sepakat menterai Memorandum Perjanjian bagi sumbangan pembinaan satu unit reban ayam penelur di Makmal Ladang, Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian. Majlis menandatangani MoA ini telah diadakan pada 22 Februari 2024 bertempat di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.

 

Kerjasama ini diterajui oleh Fakulti Pertanian untuk menambah kapasiti fasiliti bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, terutamanya yang melibatkan ternakan ayam penelur, menjalankan aktiviti pengembangan serta merancakkan aktiviti penjanaan pendapatan. Menerusi kolaborasi strategik dengan rakan industri, pastinya terus memperkasakan keterlihatan universiti di peringkat nasional serta menjadi satu model dan bentuk inisiatif sumbangan alumni untuk kemajuan universiti.

 

Menerusi perjanjian yang dimenterai bersama, pihak QL Corporate Services Sdn. Bhd. akan membina satu unit reban ayam penelur berukuran 3.7 meter lebar dan 30.0 meter panjang di atas plot tanah yang berada dalam kawasan Makmal Ladang Jabatan Sains Haiwan yang berharga RM 229,130.00. Pihak QL Corporate Services bersetuju menyumbang dana dengan siling peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang merangkumi skop kerja tanah, pembinaan bangunan dan penyediaan alatan dan mesin berkaitan dalam reban ayam penelur berkenaan.

 

Kesinambungan kerjasama tidak terhenti pada fasa pembinaan tetapi akan terus diperkasakan menerusi aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam menangani isu dan masalah dalam pengeluaran ayam penelur tempatan dan juga isu keterjaminan makanan. Selain itu, manfaat dari fasiliti ini akan diperluaskan dari segi aktiviti pengembangan, penjanaan pendapatan, kursus dan latihan untuk agensi dalam dan luar UPM serta fasiliti ini akan turut menjadi platform pelajar mendapatkan pendedahan kepada aspek praktikal di dalam amalan penternakan baik dalam pengurusan ayam penelur.

 

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Ir. Dr. B.T Hang Tuah Baharudin turut menyatakan hasrat UPM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membantu negara dalam isu keterjaminan makanan.

 

 

“Isu keterjaminan makanan dan kemerosotan hasil pertanian boleh menjadi fenomena global mendesak dan adalah penting penyertaan pelbagai pihak dalam mencari alternatif dan solusi tuntas”

 

“UPM sentiasa komited dan terbuka untuk bekerjasama dengan rakan industri, melaksanakan pelbagai inisiatif berstrategik dan penerokaan ilmu baru yang bakal memberi manfaat kepada Negara”

 

“Selain itu, sumbangan tanggungjawab korporat dari pihak QL Corporate Services Sdn. Bhd ini secara tidak langsung turut menyokong kepada Pembangunan modal insan yang dapat menguasai ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi terkini dalam penternakan ayam penelur”

 

“QL Resources telah menaja Hadiah Kecemerlangan Akademik Fakulti sejak 2014 untuk Hadiah QL Resources Pemakanan Haiwan dan Hadiah QL Resources Projek Ilmiah Sains Ternakan. Selain itu, hampir 200 pelajar Perubatan Veterinar dan pelajar Sains Haiwan telah menjalani Latihan industri di industri ini serta lebih 20 orang yang berkhidmat dengan QL Resources. Dalam masa yang sama, pihak QL Resources aktif bekerjasama dengan Fakulti Pertanian menerusi Taklimat Kerjaya bersama pelajar tahun akhir, memberi sumbangan telur ayam untuk program larian Mud Run 2023 serta turut menyumbang telur ayam kepada mangsa banjir pada tahun 2020. Kontrak penyelidikan antara kedua pihak juga mencecah lebih RM60 ribu.”

 

QL Corporate Services Sdn. Bhd. merupakan subsidiari kepada QL Resources Bhd merupakan sebuah kumpulan syarikat tersenarai awam berteraskan integrasi agro-makanan tempatan yang menghasilkan pelbagai produk daripada sumber pertanian dalam penternakan bersepadu, penghasilan produk laut dan aktiviti perladangan dan pemprosesan kelapa sawit.


Hadir sama Encik Chia Song Koi, Pengarah Urusan Kumpulan, QL Corporate Services Sdn Bhd,  Dr. Danish Cheong Abdullah, Ketua Pusat Kecemerlangan, QL Corporate Services Sdn Bhd  dan Dekan Fakulti Pertanian UPM,Prof. Dr. Loh Teck Chwen.

Pautan 1
Galeri gambar MOU

Pautan 2
Galeri gambar MOU

Tarikh Input: 04/03/2024 | Kemaskini: 04/03/2024 | wazien

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXETTAQ~