Kata Alu-aluan Dekan | FAKULTI PERTANIAN
» MENGENAI KAMI » Kenali Kami » Kata Alu-aluan Dekan

Kata Alu-aluan Dekan

Selamat datang ke laman sesawang Fakulti Pertanian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk mengisi ruangan ini dalam laman sesawang Fakulti Pertanian.  Fakulti Pertanian  merupakan satu daripada tiga fakulti asas Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia. Sebagai Fakulti Pertanian terulung di Malaysia, kami bertekad untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, dan perkhidmatan profesional dalam bidang pertanian tropika.

Selari dengan matlamat ke arah pemerkasaan sektor pertanian dan ketahanan sekuriti makanan negara, gerak kerja pada peringkat fakulti berfokuskan misi untuk menjadi Pusat Rujukan Inovasi Sekuriti Makanan dan Perladangan Lestari, Pusat Rujukan Pengembangan Pertanian Tropika serta menjadi satu entiti yang menyerlah sebagai pemangkin industri pertanian negara berpaksikan teknologi tinggi.

 

Berlandaskan sistem pendidikan negara, Fakulti berusaha mengeluarkan pakar pertanian terlatih, berciri keusahawanan dan berupaya mengendalikan perundingan di samping menghasilkan teknologi pertanian baharu dan berkualiti, hasil daripada program penyelidikan dan pengkomersilan. Program pengajian yang ditawarkan termasuklah Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Bacelor Sains Hortikultur dengan Kepujian, Bacelor Sains Perniagaantani dengan Kepujian, Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian, Bacelor Sains Haiwan dengan Kepujian, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian dan Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian.

 

Fakulti  juga menawarkan program pada peringkat Ijazah Lanjutan iaitu Master Pengurusan Sumber Tanah (tanpa tesis), Master Pengurusan Perladangan (tanpa tesis), Master Sains Tanah Tropika (tanpa tesis), Master Sains dan Doktor Falsafah. Program pengajian yang ditawarkan bertepatan dengan senario dan cabaran perubahan struktur sosio-ekonomi semasa yang  telah menimbulkan beberapa cabaran dalam pengeluaran makanan khususnya pergantungan kepada pekerja asing, tanah sesuai yang terhad, kos yang meningkat, perubahan iklim, permintaan bahan makanan yang meningkat akibat pertambahan penduduk dan persaingan sengit akibat liberalisasi perdagangan.

 

Saya amat berharap laman sesawang  ini dapat menyumbang kepada semua pegawai, pelajar, alumni, masyarakat umum dan pihak berkepentingan dalam mengenali perkhidmatan yang ditawarkan oleh Fakulti Pertanian. Harapan saya juga ianya dapat membantu memberi maklumat yang lebih jelas kepada bakal pelajar, pelawat serta orang ramai untuk mendapat maklumat terkini tentang aktiviti yang dijalankan di fakulti termasuklah aktiviti akademik, penyelidikan dan khidmat profesional.

 

Saya harap laman sesawang ini akan terus memberi panduan berguna kepada mereka yang melayarinya dan saya yakin semua pegawai Fakulti Pertanian sentiasa komited dan sentiasa bersedia untuk bekerjasama membantu anda. Fakulti Pertanian sedang menuju ke tahap yang lebih tinggi dan akan menjadi sebuah pusat ternama dalam bidang pertanian tropika dan anda dialu-alukan untuk menyertai kami.

 

Terima kasih pada semua yang terlibat dalam pembinaan laman sesawang ini dan saya harap ianya akan terus dinamik sejajar dengan hala tuju UPM dan Fakulti Pertanian khasnya.

Selamat melayari laman sesawang ini.

Sekian.

 

PROF. DR. LOH TECK CHWEN

Dekan

Kemaskini:: 30/01/2023 [wazien]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERTANIAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
SXDdHAJ~