
Ratusan pelabur juga terpukau dengan tawaran keuntungan segera itu kerana nilai pasaran global durian terutama Musang King mencecah puluhan bilion ringgit setiap tahun, termasuk sambutan luar biasa di beberapa negara Asia seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Asia Barat.
Malah, pada tahun ini sahaja, nilai pasaran durian dijangka mencapai sekitar AS$30 bilion (RM141 bilion), dengan kapasiti durian Musang King dari Malaysia sangat bernilai untuk dieksport.
Pensyarah di Jabatan Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norsida Man, berkata terdapat pelbagai skim pelaburan pertanian durian di negara ini sama ada berdaftar atau tidak.
Bagaimanapun, katanya, skim pelaburan pertanian meragukan atau berbentuk penipuan turut dikesan wujud sejak 2018 apabila ada kes dilaporkan, susulan permintaan tinggi terhadap buah itu, khususnya Musang King.
Katanya, antara skim sah ialah yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membabitkan pelaburan pertanian durian.
"Namun, ada kemungkinan wujud banyak syarikat yang menawarkan pelaburan pertanian meragukan dan dipercayai membentuk penipuan berskala besar.
"Modus operandi mereka biasanya menggunakan penampilan meyakinkan dengan janji keuntungan selepas tempoh tertentu. Antara strategi ialah promosi melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat. Mereka menjanjikan pulangan tinggi, antara 30 hingga 100 peratus dalam tempoh dua ke tiga bulan.
Pelabur dipaksa buat deposit tambahan
"Sindiket ini juga menggunakan testimoni palsu, jaminan keuntungan serta kontrak samar untuk menjerat mangsa. Malah, ada pelabur yang dikesan dipaksa membuat deposit tambahan atas alasan 'yuran proses' sebelum boleh mengeluarkan modal," katanya kepada BH, semalam.
BH semalam melaporkan ratusan rakyat Malaysia kerugian jutaan ringgit selepas terpedaya dengan skim pemasaran durian Musang King di sebuah negara.
Difahamkan, pelaburan yang dipromosikan dengan janji keuntungan luar biasa itu langsung tidak memberi sebarang pulangan, walaupun didakwa mempunyai modul perniagaan kukuh.
Norsida berkata, skim pelaburan Musang King biasanya menjanjikan keuntungan selepas pokok durian mula berbuah dalam beberapa tahun.
Katanya, mengikut ketetapan syarikat, pelabur boleh membeli lot penanaman di kawasan tertentu, dengan sejumlah pokok dalam setiap lot.
"Skim ini dibangunkan dengan kerangka pelaburan tertentu bagi menarik minat pelabur. Ia diuruskan syarikat yang mendakwa mempunyai kepakaran pengurusan serta jururunding teknikal dalam penanaman durian.
"Selain itu, mereka menggunakan data dan teknologi terkini untuk memberi unjuran pulangan hasil tanaman. Tujuan asalnya adalah menggalakkan pelaburan sektor pertanian bagi memastikan pembangunan berterusan serta menjana pendapatan negara," katanya.
Menurut beliau, pelaburan sedemikian lazimnya membabitkan eksport memandangkan permintaan tinggi dari luar negara, khususnya China.
"Durian Malaysia, terutama Musang King, sangat bernilai untuk eksport. Nilai pasaran global durian dijangka mencecah AS$30 bilion pada 2025. Ada juga skim pelaburan yang hanya fokus pada pasaran domestik, namun akhirnya tetap menyokong eksport," katanya.
Date of Input: 27/08/2025 | Updated: 27/08/2025 | wazien

Faculty of Agriculture
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA