Pertanian Moden Bantu Serap Ancaman Perang Dagang, Kata Ahli Akademik | FACULTY OF AGRICULTURE
» ARTICLE » Pertanian moden bantu serap ancaman perang dagang, kata ahli akademik

Pertanian moden bantu serap ancaman perang dagang, kata ahli akademik

Pertanian moden bantu serap ancaman perang dagang, kata ahli akademik

 

Norsida Man dari UPM berkata perang dagang berisiko jejaskan Malaysia yang masih berstatus negara pengimport makanan.

PETALING JAYA:
Kesan perang dagang yang dibimbangi berisiko menjejaskan bekalan makanan negara boleh diserap dengan pertanian moden berskala besar dan penyelidikan, kata ahli akademik.

Norsida Man berkata ancaman tarif lebih tinggi oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan tindak balas negara lain berisiko menyusutkan perdagangan pertanian global.

Menurut pensyarah dari Universiti Putra Malaysia itu, keadaan terbabit boleh memberi kesan kepada Malaysia yang masih berstatus negara pengimport dan tahap sara diri rendah.

“Penjimatan subsidi bersasar bahan api mungkin boleh disalurkan kepada sektor pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran untuk mengurangkan import makanan dan risiko keterjaminan makanan akibat perang dagang serta risiko lain.

“Cadangan ini boleh dipertimbangkan dengan syarat peruntukan tersebut digunakan pada perkara yang tepat dan mengikut keutamaan keperluan,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi ahli akademik, Christopher Teh menggesa pelaburan itu perlu difokuskan kepada usaha pemodenan pertanian seperti penggunaan teknologi serta jentera terkini menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).

Menurutnya, pemodenan juga harus berkait dengan penggunaan baja dan benih yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran dengan segera.

“Bangunkan juga lebih banyak pusat pemprosesan makanan, kemudahan lepas tuai, pusat kutipan hasil dan pengedaran serta sistem rantaian sejuk untuk kurangkan pembaziran makanan.

“Ini kerana satu pertiga dari hasil pertanian Malaysia musnah kerana masalah logistik lemah,” kata pensyarah di UPM itu yang turut mencadangkan setiap agensi bekerjasama untuk memperluaskan pasaran.

Christopher berkata Malaysia selaku pengerusi ASEAN juga boleh mempelbagaikan sumber import di kalangan negara anggota.

“Saya juga berharap untuk belanjawan akan datang, ada peruntukan lebih besar bagi pusat penyelidikan dan institut pengajian tinggi bagi mencipta baka tanaman/ternakan lebih tahan iklim.

“Penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu merangkumi amalan pertanian mampan dan mesra alam sekitar,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan menyalurkan RM6.42 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk melaksanakan pelbagai dasar khususnya dalam meningkatkan produktiviti.

Artikel Penuh

Date of Input: 22/05/2025 | Updated: 22/05/2025 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S, (03:40:20am-03:45:20am, 09 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]