PERTANIAN PUNCA PEMBAKARAN HUTAN? | FACULTY OF AGRICULTURE
» ARTICLE » PERTANIAN PUNCA PEMBAKARAN HUTAN?

PERTANIAN PUNCA PEMBAKARAN HUTAN?

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 11 September 2019.**

Oleh Dr Adibah Mohd Amin

Kita dikejutkan dengan berita kebakaran Hutan Hujan Amazon, Brazil. Di Malaysia, hutan kita di Sarawak dan Iskandar Puteri, Johor turut terbakar. Kemusnahan hutan ini telah mengganggu kitar oksigen dan karbon dunia.

Antara sebab pembakaran hutan ini berlaku adalah bagi tujuan pembersihan tanah sebelum aktiviti pertanian diajalankan. Industri sawit di Malaysia telah mengamalkan polisi ‘zero burning’ untuk mencapai kelestarian.

Namun demikian, malangnya, industri padi negara menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida ke udara. Ini kerana, apabila musim padi telah selesai, residu jerami padi tadi dibakar.

Pembakaran terbuka yang disebabkan oleh aktiviti pertanian berpunca dari beberapa perkara.

Selain ia merupakan jalan mudah bagi penyediaan kawasan sebelum penanaman, ia juga bertujuan untuk mengawal penyakit dan perosak serta pengurusan sisa selepas tanaman dituai. Beberapa langkah boleh diambil bagi mengawal pembakaran terbuka ini.

Jerami yg berbentuk bandela boleh dijual kepada penternak haiwan sebagai sumber makanan. Gulungan jerami ini dihasilkan menggunakan mesin khas.

Selain itu, jerami padi ini boleh dijadikan kompos dan biochar. Kompos dan biochar ini kemudian boleh digunakan semula di dalam aktiviti pertanian sebagai sumber nutrien.

Jerami juga boleh dijadikan sungkupan iaitu permukaan tanah ditutup bertujuan untuk memelihara kelembapan tanah selain dapat mengawal rumpai dan meningkatkan kesuburan tanah.

Selain itu, sisa tanaman atau sisa pertanian juga boleh dibiarkan terurai di ladang dengan bantuan bakteria penggalak dan enzim. Sisa pertanian yang terurai ini kemudiannya juga dapat membekalkan nutrien kepada tanaman untuk musim yang akan datang.

Seterusnya, sisa pertanian juga berpotensi untuk ditukarkan kepada sumber tenaga tenaga yang dopleh diperbaharui atau juga dipanggil tenaga hijau. Tenaga biojisim (biomass) ini kemudiannya ditukar menjadi tenaga elektrik oleh janakuasa.

Kelestarian merupakan kunci penting agar manusia tidak mempunyai konflik dengan alam sekitar pada masa hadapan. Pemanasan global mungkin berlaku secara semulajadi, tetapi aktiviti manusia merupakan penyumbang utama kepada fenonema ini.

Menjadi petani mempunyai tanggungjawab yang besar. Pertanian merupakan sumber makanan kita.

Kita bergantung kepada sumber alam semulajadi seperti cahaya matahari, air dan karbon dioksida bagi membolehkan proses fotosintesis berlaku di dalam tumbuhan dengan kehadiran klorofil untuk membuat makanan. Kita jaga alam, alam jaga kita.

Dr Adibah Mohd Amin
Jabatan Pengurusan Tanah
Fakulti Pertanian



Date of Input: 23/10/2019 | Updated: 28/11/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
C1601404433