
KUALA LUMPUR: Lambakan durian import di pasaran menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna tempatan susulan terdapat dakwaan ia mengandungi bahan kimia tertentu yang berpotensi menyebabkan penyakit kronik termasuk kanser.
Profesor Jabatan Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Norsida Man, mengakui memang terdapat bahan kimia dikenali etefon yang banyak digunakan dalam industri pertanian.
Katanya, etefon (2-chloroethylphosphonic acid) adalah bahan sintetik yang akan terurai menjadi gas etilena apabila diserap oleh buah atau terdedah kepada kelembapan dan suhu tertentu.
"Bahan itu bertindak balas dengan air dalam tisu buah untuk melepaskan gas etilena iaitu hormon semulajadi tumbuhan yang mencetuskan proses pematangan.
"Namun jika buah belum cukup matang semasa dipetik, pematangan itu tidak sempurna di mana buah akan nampak masak, tapi tekstur tidak sekata, aroma kurang kuat dan rasa kurang mendalam," katanya.
Etefon dibenarkan di banyak negara, tetapi ada had residu maksimum (MRL) yang mesti dipatuhi.
"Kesan toksik akan berlaku jika digunakan berlebihan, tidak ada tempoh peram yang cukup sebelum dijual (biasanya perlu tiga hingga tujuh hari untuk residu terurai).
"Dalam dos kecil dan jika digunakan dengan betul, ia tidak berbahaya. Tetapi apa yang memberikan kebimbangan pengguna ialah jika ia digunakan secara tidak terkawal, terutama dalam industri eksport besar-besaran untuk mengejar untung," katanya.
Kebiasaannya kesan penggunaan etefon ialah rasa dan bau tidak asli, tekstur berbeza dan kualiti tidak stabil.
"Selain itu, potensi kesan kesihatan jika penggunaan etefon melebihi paras dibenarkan seperti gangguan hormon dan masalah organ dalam jangka panjang jika digunakan secara berlebihan dan tidak dikawal.
"Isu ini mencerminkan dilema antara keperluan pasaran moden dan kualiti makanan asli, yang mana pada akhirnya dalam jangka panjang, kesedaran pengguna mengenai isu ini mungkin mendorong kepada permintaan durian yang lebih asli dan bebas manipulasi kimia," katanya.
Jelasnya lagi, di Thailand umpamanya, terdapat beberapa kawasan penanaman durian iaitu di selatan, timur dan tengah, jadi musimnya agak panjang di mana musim utama antara Mac hingga Julai, manakala di kawasan selatan yang berhampiran sempadan negara, musim itu boleh berlanjutan hingga September.
"Di negara ini terutama di Pahang, Johor, Perak dan Pulau Pinang, musim utamanya ialah antara Mei hingga Ogos dan musim kedua sekiranya ada boleh berlangsung antara November hingga Januari tetapi bergantung kepada cuaca dan kawasan," katanya.
Date of Input: 03/06/2025 | Updated: 03/06/2025 | wazien

Faculty of Agriculture
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA